Sukan SUFC tewas lagi, jadi ‘lauk’ kepada JDT

SUFC tewas lagi, jadi ‘lauk’ kepada JDT

9
Pemain JDT, Fernando Martin Forestieri (kanan) mengasak pertahanan Sarawak United FC, Ganzalo Manuel Soto pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim pada Rabu. - Foto Bernama

ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta’zim (JDT) kembali menunjukkan taring sebenar selepas membelasah pendatang baharu, Sarawak United FC 6-0 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim di sini pada Rabu.

Selepas aksi kurang konsisten ketika menentang Penang FC apabila sekadar menang tipis 1-0 Jumaat lalu, JDT tampil dengan lebih mantap apabila menguasai keseluruhan permainan.

Fernando Forestieri dan Bergson Da Silva masing-masing menyumbang dua gol selain jaringan Carli De Murga dan Safawi Rasid memastikan skuad Harimau Selatan melakar kemenangan kedua berturut-turut.

Pada pertembungan itu, perubahan taktikal dilakukan pengendali JDT, Benjamin Mora apabila menyenaraikan semula Leandro Velazquez dan Nazmi Faiz Mansor bagi menguatkan jentera tengah selain kelibat Natxo Insa dalam usaha memburu kemenangan kedua.

Dengan membentuk formasi 4-3-3, anak didik Mora sudah mendahului pada minit ke-15 apabila serangan balas skuad Harimau Selatan membuahkan hasil selepas Nazmi Faiz bertindak pantas melorongkan bola kepada Forestieri yang menyusup masuk ke dalam kotak penalti lawan sebelum merembat bola leret tepat ke penjuru kiri gol menewaskan Mohd Sharbinee Allawee Ramli.

Sentuhan berbisa Bergson menjadi igauan ngeri buat skuad Kenyalang Emas pada minit ke-39 selepas bermula daripada bola sepakan lintang Ariff Aiman Mohd Hanapi menyaksikan penjaring terbanyak Liga Malaysia musim lalu itu melakukan sepakan kencang menewaskan Sharbinee untuk meletak tuan rumah selesa mendahului 2-0 pada babak pertama.

Bersambung babak kedua, Sarawak cuba melakukan kebangkitan bagi merapatkan jurang gol tapi penguasaan tengah tuan rumah tampak menyukarkan pasukan pelawat melepasi kawalan De Murga dan Lowry.

Malang buat Sarawak apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada minit ke-61 selepas pemain gantian, Raja Imran Shah Raja Amin dilayangkan kad kuning kedua dan disusuli kad merah oleh pengadil, Zulkarnain Zakaria kerana mengasari Safawi.

Kesempatan itu diguna sepenuhnya tuan rumah untuk mencipta gol ketiga perlawanan pada minit ke-63 selepas bola sepakan percuma Forestieri yang sekadar melorongkan bola di posisi sayap kanan memerangkap benteng pasukan pelawat menyaksikan Bergson yang tidak dikawal mudah merembat bola untuk mencetak gol kedua peribadi.

Ketika aksi berbaki 17 minit untuk ditamatkan skuad Harimau Selatan menambah derita pasukan pelawat selepas bola sepakan sudut Ariff Aiman membolehkan De Murga yang tidak dikawal menanduk bola rendah tepat ke penjuru kanan gol.

Safawi tidak terkecuali mencetak nama selaku penjaring pada minit ke-81 selepas menyudahkan bola umpanan Bergson dan selang empat minit, Forestieri kembali mengganas apabila mencetak gol kedua peribadi untuk memastikan JDT menang bergaya.

#sarawaknews
#hanyauntuksarawak

Previous articleKadar kemasukan kanak-kanak ke wad ICU meningkat 94% – Khairy
Next articlePeralihan ke Fasa Endamik: Teruskan pakai pelitup muka
Sarawak News merupakan sebuah platform berita yang memaparkan berita, informasi dan maklumat mutakhir yang berlaku di Sarawak Bumi Kenyalang. Semestinya ianya benar, betul dan sahih hanya untuk rakyat Sarawak

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here