Nasional

Sultan Ibrahim, Yang Di-Pertuan Agong ke-17

KUALA LUMPUR: Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim selamat melafaz sumpah memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 dalam upacara penuh adat istiadat di Istana Negara, di sini semalam.

Dengan melafaz dan menandatangani surat sumpah jawatan, Sultan Ibrahim yang kini berusia 65 tahun, berikrar akan melaksana pemerintahan dengan adil dan mengaku akan bersungguh-sungguh memelihara serta mempertahankan pada setiap masa kesucian agama Islam, keamanan dan kesejahteraan rakyat.

Istiadat sama turut melibatkan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah yang dilantik sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong melengkapkan sistem raja berperlembagaan negara.

Sultan Ibrahim dan Sultan Nazrin Shah dipilih oleh Raja-Raja Melayu pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-263 (Khas) di Istana Negara pada 27 Oktober 2023, berikutan tempoh pemerintahan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 tamat pada 30 Januari 2024 selepas memegang tampuk pemerintahan negara sejak 31 Januari 2019.

Istiadat Mengangkat Sumpah dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-17, Sultan Ibrahim menandakan permulaan khidmat Baginda bagi tempoh lima tahun.

Sumber: BERNAMA
Kredit foto: Jabatan Penerangan Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *