KUCHING: Selepas dua tahun menyepi, Oktober ini Sungai Sarawak akan kembali berkocak dengan kemeriahan Regata Sarawak.
Menurut Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, pada tahun ini perlumbaan Bot Naga Antarabangsa Regata Sarawak Ke8 akan diadakan pada 28 hingga 30 Oktober manaka, Regata Sarawak akan diadakan pada 4 hingga 6 November 2022.
“Kami akan terus menyokong festival dan acara yang berpotensi tinggi yang boleh membantu meningkatkan indutri pelancongan dengan menambah bilangan ketibaan ke Sarawak melalui geran acara,” katanya.
Belia berkata demikian ketika sesi penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Rabu.
Tambah Dato Sri Abdul Karim lagi, selain sukan air, antara acara ikonik yang dijadualkan kembali diadakan pada tahun ini ialah Pesta Bebulang dan Lumba Kerbau yang akan diadakan pada 3 dan 4 Jun, Pesta Tarian Antarabangsa Sibu pada 8 hingga 11 Jun, Perlumbaan Spartan Sarawak pada 11 hingga 12 Jun, Festival Muzik Hutan Hujan pada 17 hingga 19 Jun, Pesta Kebudayaan Borneo pada 19 hingga 23 Julai, Pesta Tidal Bore Sri Aman pada 9 hingga 11 September, Maraton Kuching pada 2 Oktober dan Maraton Miri pada 6 November.
“Bagi tahun 2022, kementerian saya telah menyokong 21 acara dan perayaan dengan jumlah peruntukan sebanyak RM6.5 juta.
“Selain itu, kementerian saya juga menyokong penggiat industri kreatif dan bidang perfilemen dan muzik dan jumlah peruntukan yang telah diluluskan ialah RM883,175 untuk mereka menghasilkan telemovie, dokumentari dan video muzik,” ujarnya.