Tempatan

S’wak, Indonesia meterai perjanjian bangun projek hidroelektrik

JAKARTA: Sarawak Energy Berhad menerusi syarikat usaha samanya PT Kayan Patria Pratama (PT KPP) dan PT Adora menandatangani Perjanjian Ketua atau Heads of Agreement (HoA) di sini pada Isnin.

Perjanjian itu akan menyaksikan Sarawak Energy di bawah Sarawak Energy Services dan PT KPP di bawah Kayan Investama Internasional sebagai pemegang saham PT KHN membangunkan perkongsian dengan PT Adaro untuk mengambil bahagian dalam pembangunan Projek Hidroelektrik Mentarang Induk (MIHEP) di Indonesia.

Perkongsian itu akan membangunkan MIHEP sebagai bekalan tenaga boleh diperbaharui untuk KIPI Tanah Kuning bagi menyokong agenda Pembangunan Industri Berasaskan Tenaga Diperbaharui (REBID) Kerajaan Indonesia.

Penyertaan Sarawak dalam pembangunan tenaga hidro di Kalimantan Utara dibina atas perkongsian lama dan kejayaan usaha sama Sarawak dengan PLN untuk penyambungan bekalan tenaga elektrik Sarawak-Kalimantan Barat sejak 2016.

Pengalaman Sarawak Energy dalam pembangunan kuasa hidro dan REBID di Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) merupakan kelebihan tambahan dalam penyertaan Sarawak untuk Taman Tenaga Hijau Tanah Kuning bagi mengukuhkan pembangunan kuasa di hulu taman perindustrian itu.

Terdahulu Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan mengetuai delegasi Sarawak untuk bertemu dengan Menteri Penyelaras Maritim dan Hal Ehwal Pelaburan Indonesia, Bapak Luhut Binsar Pandjaitan.

Mesyuarat itu bagi mengesahkan sokongan Kerajaan Sarawak terhadap pembangunan MIHEP melalui penyertaan syarikat milik penuhnya, Sarawak Energy melalui syarikat usaha samanya PT Kayan Hydropower Nusantara (PT KHN).

Awang Tengah dalam pertemuan turut merakamkan penghargaan Kerajaan Sarawak kepada Kerajaan Indonesia atas sokongan dan bantuan berterusan yang diberikan kepada Sarawak Energy dan PT KHN selama beberapa tahun pembangunan MIHEP.

PT KHN ditubuhkan untuk menyokong agenda pembangunan Kerajaan Indonesia, untuk membekalkan tenaga lestari berskala besar yang pertama seumpamanya dari MIHEP untuk menyokong Taman Tenaga Hijau Tanah Kuning.

MIHEP direka untuk menjana tenaga berkapasiti 1,375 MW dari sungai Mentarang di Kabupaten Malinau, Provinsi Kalimantan Utara.

Turut sama dalam delegasi Sarawak itu ialah Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Sarawak Datuk Julaihi Narawi, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Dr Hazland Abang Hipni, beberapa pegawai kerajaan dan wakil dari Sarawak Energy. – SN

#sarawaknews
#hanyauntuksarawak

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *