KOTA SAMARAHAN: Pusat Digital Tun Abang Haji Openg Digital Centre (TAHODC) di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) adalah antara usaha yang akan membantu Kerajaan Sarawak dalam mentransformasikan ekonomi Sarawak daripada cara lama kepada cara baru.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, transformasi digital kini adalah suatu keperluan untuk kejayaan perniagaan dalam era moden ini.
“Pusat digital ini dijangka akan menjadi pendekatan jangka panjang untuk melahirkan graduan berkemahiran dalam mentransformasikan ekonomi Sarawak daripada cara lama kepada cara baru,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis perasmian bangunan TAHODC di sini pada Jumaat.
Abang Johari berkata, dengan adanya pusat berkenaan, ia akan membantu Kerajaan Sarawak dengan melahirkan siswa dan siswazah yang pakar dalam bidang terutama menganalisis data, keselamatan siber dan kemahiran dalam usaha dalam merealisasikan impian negeri maju menjelang tahun 2030.
Sementara itu, Naib Canselor UNIMAS, Prof. Datuk Dr. Mohamad Kadim Suaidi berkata, dengan adanya ruang pejabat yang kondusif ini, ia diharap menjadi pemangkin utama untuk memperkasakan fungsi serta sumbangan dengan menyediakan khidmat dan kepakaran bukan sahaja kepada UNIMAS, tetapi juga kepada komuniti luar.
Ujar beliau, ia sejajar dengan agenda transformasi pendigitalan UNIMAS ke arah menjadikan UNIMAS sebuah hab teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang signifikan kepada pembangunan dan transformasi digital Wilayah Sarawak dan pengajian tinggi negara.
Bangunan tersebut menjadi pusat operasi Pusat Pembangunan dan Khidmat Teknologi Maklumat (CITDS) yang merupakan tunjang dalam menyediakan perkhidmatan ICT di UNIMAS.
Bangunan ini telah dibina melalui sumber dalaman UNIMAS dengan kos sebanyak RM12 juta.
Penjenamaan bangunan tersebut telah diumumkan pada 2019 sebagai menghargai usaha Premier Sarawak dalam menggerakkan agenda ekonomi digital di Sarawak.
Selain itu, ia turut menjadi tanda pengiktirafan kepada sumbangan yang telah diberikan oleh Tun Datuk Abang Haji Openg Abang Sapiee, Tuan Yang Terutama Yang DiPertua Negeri Sarawak yang pertama.
Premier Sarawak juga turut melancarkan tiga produk yang signifikan kepada UNIMAS sebagai sebuah pusat pengajaran, pembelajaran serta penyelidikan, iaitu yang pertama ialah REKA yang merupakan platform pembangunan sistem secara pantas, yang dibangunkan oleh UNIMAS untuk memperkasakan inovasi dan transformasi digital tanpa memerlukan kemahiran teknikal yang kompleks.
Produk kedua pula ialah Leaners for Life (Program pembelajaran dalam talian sepanjang hayat) yang menyokong pengajaran dan pembelajaran kursus-kursus pendek dan program eksekutif professional serta kursus-kursus berbentuk Micro-Credential dan Open Distance Learning.
Manakala produk ketiga ialah pelancaran Program Master of Education- Teaching English to Speakers of Other Languages (TESOL) atau Program Sarjana Pendidikan – Pengajaran Bahasa Inggeris kepada Penutur Bahasa Asing (TESOL) yang ditawarkan di Fakulti Bahasa dan Komunikasi sebagai satu inisiatif yang progresif dalam usaha mewajakan program pendidikan dan bahasa Inggeris.
Kohort yang pertama akan memulakan pengajian pada Oktober 2023 di Fakulti Bahasa dan Komunikasi, UNIMAS.
Dengan perasmian TAHODC, UNIMAS sebagai sebuah universiti yang memacu komuniti mengorak langkah besar ke arah memajukan transformasi digital, memupuk kecemerlangan akademik dan menyumbang kepada pembangunan Sarawak dan negara secara keseluruhan.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan Datuk Rubiah Wang, dan Pengerusi Majlis Perbandaran Kota Samarahan Dato Peter Minos.
Dapatkan berita lebih lanjut dan pantas dengan melayari media sosial Sarawak News
Telegram: https://t.me/sarawaknews2022
Facebook Page: https://www.facebook.com/sarawaknewsofficial/
Instagram: https://www.instagram.com/sarawak_news/
Twitter: https://twitter.com/sarawak_news
Youtube: https://www.youtube.com/@sarawaknews2022/