KUCHING: Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Tan Kai dilantik sebagai Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) yang baharu bermula 1 April ini bagi menggantikan Lo Khere Chiang.
Ia diumumkan oleh Khere Chiang dalam sidang media pada Rabu sambil menambah majlis angkat sumpah Tan Kai bersama 17 kaunselor baru dan 12 kaunselor lama akan diadakan pada 1 April bertempat di Ibu Pejabat MPP.
“Tan Kai akan menjadi Pengerusi (MPP) yang baharu. Pada 1 April ini akan diadakan majlis angkat sumpah kaunselor baharu di MPP.
“Terdapat 17 kaunselor baharu dan 12 kaunselor lama dikekalkan. Ia jumlah yang baik kerana kaunselor lama tahu apa yang berlaku, jadi mereka yang baharu boleh pelajari dari situ.
“Tugas kaunselor sangat sofistikated. Masalah boleh menjadi rumit dan berpanjangan. Jadi 12 kaunselor lama ini akan membimbing kaunselor yang baharu untuk membentuk jaringan perhubungan,” katanya.
Terdahulu dalam ucapannya, Khere Chiang berkata sejak diberi kepercayaan meneraju MPP 12 tahun lepas, pihaknya telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memajukan kawasan Padawan dan menerima pengiktirafan dari usaha tersebut.
Antara kejayaan tersebut ialah MPP diiktiraf sebagai majlis tertinggi di kalangan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Sarawak dengan memperoleh penarafan lima bintang dan telah memperoleh sejumlah 95.69 mata daripada 100.
Selain itu katanya, MPP juga telah memenangi anugerah Emas bagi Kategori Pihak Berkuasa Tempatan dalam Anugerah Alam Sekitar Perdana Sarawak 2022.
Jelasnya lagi, MPP juga telah menerima Anugerah Pembangunan Lestari (SDA) JCI selama tiga tahun dari 2019 hingga 2021.
Antaranya adalah anugerah JCI untuk Bandar dan Komuniti Lestari dengan topik Sistem Lampu Isyarat Pintar (SCATS) (Matlamat SDG No. 11) pada 2021, anugerah JCI untuk Tiada Kemiskinan dengan topik Program Pembaikan Rumah Untuk Orang Miskin (Matlamat SDG No 1) pada 2020 dan Anugerah Terbaik daripada Terbaik untuk Penggunaan & Pengeluaran Bertanggungjawab dengan topik Pasaran Hijau, Komuniti Hijau (Matlamat SDG No 12) pada 2019.
“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan yang tidak terhingga kepada Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Bin Tun Datuk Abang Haji Openg, Premier Sarawak dan pemimpin sebelumnya kerana memberi saya kepercayaan sebagai Pengerusi MPP selama 12 tahun.
“Ia adalah satu penghormatan untuk berkhidmat dalam organisasi yang berprestij dan disegani seperti MPP.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Dato Sri Profesor Dr Sim Kui Hian, Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan atas kepercayaan dan keyakinan beliau kepada saya,” tambahnya.
Di akhir ucapannya, Khere Chiang berharap perubahan positif di Padawan akan terus berkembang di bawah pengerusi baharu MPP.
Hadir sama Timbalan Pengerusi MPP merangkap Senator Dewan Negara Datuk Ahmad Ibrahim. – SN