Tempatan

Tanam bayi dekat rumah kekasih, pasangan kekasih ditahan polis

MIRI: Susulan pendarahan yang teruk, seorang remaja perempuan bersama teman lelakinya berusia 29 tahun ditahan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Miri selepas menyembunyikan kelahiran bayi.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari berkata, penangkapan pasangan kekasih itu kemudiannya membawa kepada penemuan mayat bayi yang ditanam di Kampung Bukit Jagus Lambir pada Ahad.

“Hasil penangkapan pasangan kekasih itu kira-kira jam 3:30 pagi, anggota kita menemukan mayat bayi yang sudah reput berusia lebih kurang seminggu yang ditanam di Kampung Bukit Jagus lambir.

“Mayat bayi lelaki itu kemudiannya dibawa ke Hospital Miri untuk tindakan lanjut,” katanya pada Selasa.

Tambah Hakemal, mayat bayi itu telah ditanam berdekatan dengan rumah teman lelakinya yang tinggal di kampung tersebut.

Ujarnya lagi, siasatan awal mendapati remaja berusia 19 tahun telah melahirkan bayi itu di bilik asrama sebuah sekolah menengah.

Rahsia terbongkar apabila warden asrama sekolah telah membawa remaja itu ke Hospital Miri bagi membuat pemeriksaan selepas mengalami pendarahan yang teruk.

“Punca pendarahan itu membawa kepada rahsia terbongkarnya kes kelahiran bayi dan satu laporan polis telah dibuat selepas kejadian itu,” katanya lagi.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran bayi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *