MIRI: Penggunaan gelaran Premier bagi Sarawak seperti yang telah diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Februari lepas mempunyai maksud dan keperluan selepas Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) diiktiraf Parlimen pada 2021.
Jelas Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, mengikut MA63 Sarawak merupakan sebuah wilayah selain Persekutuan Tanah Melayu, North Borneo (Sabah) dan Singapura.
“Sebabnya, Perlembagaan Malaysia telah dipinda dan mengiktirafkan Perjanjian Malaysia 1963. Dalam Perjanjian Malaysia ada 4 wilayah iaitu Persekutuan Tanah Melayu, North Borneo (Sabah), Sarawak dan Singapura.
“Persekutuan Melayu termasuklah Pulau Pinang dan Melaka. CEO nya digelar Ketua Menteri tetapi tidak mempunyai kabinet manakala Sabah dan Sarawak ada Kabinet. Ini disebabkan kita wilayah,” jelasnya semasa berucap dalam Majlis Gawai Raya dan Pelancaran Projek Integrated Community Centre Fasa 2 Taman Jelita Jaya off Taman Tunku di Miri Marriot Resort dan Spa pada Ahad.
Tegas Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari, apabila Sarawak telah diiktiraf sebagai wilayah, taraf Ketua Menteri Sarawak tidak sama dan ini perlu diubah mengikut Komanwel yang turut menggunakan Premier.
“Apabila kita diiktiraf wilayah, saya pun pinda undang-undang.
“Kita tidak boleh sama taraf dengan Ketua Menteri Melaka dan Pulau Pinang. Kita yang besar daripada Pulau Pinang.
“Sebab itu kita mengubahnya dan mengikut Komanwel dengan menggunakan ‘Premier’ tinggi daripada Ketua Menteri dan rendah daripada Perdana Menteri,” tegasnya.
Selain gelaran Ketua Menteri digantikan kepada Premier, turut berubah gelaran Menteri Muda kepada Timbalan Menteri bagi menunjukan kuasa dalam pentadbiran khususnya apabila berada di luar negara selain untuk kepentingan Sarawak.