Nasional

Tarikh Akhir Pemberian vaksin di bawah PICKIDS pada 15 Mei ini

KUCHING: Tarikh akhir pemberian vaksin di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) ialah pada 15 Mei 2022.

Timbalan Menteri Kesihatan 1 Dato Dr Noor Azmi Ghazali berkata mulai 16 Mei 2022, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak lagi menawarkan dos 1 vaksin COVID-19

jenis Comirnaty dan CoronaVac kepada kanak-kanak yang telah berusia 5 hingga bawah 12 tahun.

“Berikutan tren permintaan vaksinasi ibu bapa/penjaga terhadap kanak-kanak yang semakin menurun, KKM telah mengkaji semula tempoh pelaksanaan PICKids.

“Permintaan vaksinasi yang rendah boleh menyebabkan pembaziran vaksin yang tinggi.

“Bagi mengelakkan pembaziran vaksin Comirnaty kanak-kanak yang tidak digunakan dalam tempoh 6 bulan selepas dikeluarkan oleh pengilang, penetapan tarikh akhir dos 1 perlu dibuat,” katanya menerusi kenyataan media pada Rabu.

Ujar Dato Dr Noor Azmi lagi, ibu bapa kepada kanak-kanak yang belum menerima Vaksin COVID 19, perlu membuat keputusan mengenai vaksinasi COVID-19 sebelum 15 Mei 2022.

Selepas tarikh ini, vaksin COVID-19 kanak-kanak jenis Comirnaty tidak lagi ditawarkan di mana-mana fasiliti kesihatan awam dan swasta di Malaysia.

Manakala vaksin Coronavac pula hanya boleh diperolehi dengan bayaran di fasiliti swasta.

Walau bagaimanapun, keputusan ini tidak melibatkan vaksinasi bagi kanak-kanak yang lahir pada tahun 2017 dan belum mencapai usia 5 tahun pada 15 Mei 2022.

Kanak-kanak dalam kategori ini boleh mendapatkan vaksinasi COVID-19 dengan mendaftar dalam Aplikasi MySejahtera.

Sebagai persediaan ke arah tarikh akhir Dos 1 ini, Jabatan-iabatan Kesihatan Negeri telah memulakan operasi “Gerak Gempur” di lapangan.

Ibu bapa yang telah mendaftarkan anak dalam My Sejahtera tetapi masih belum disuntik akan dihubungi oleh petugas kesihatan samada melalui telefon, media sosial atau lawatan ke rumah bag menawarkan vaksinasi COVID-19 kepada anak-anak mereka.

Ibu bapa yang bersetuju akan diberikan tarikh janji temu sebelum tarikh akhir dos 1.

Sehingga 12 April 2022, seramai 1,371,120 atau 38.6 peratus kanak-kanak telah menerima sekurang-kurangnya 1 dos vaksin COVID-19 dan

195,865 telah menerima 2 dos vaksin COVID-19 dengan purata pemberian vaksin dos 1 sekitar 4,500 dos sehari semenjak 7 hari yang lalu. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *