Menarik Tempatan

‘Team Gerak Sahur’ bantu bangunkan penduduk bersahur

SRI AMAN: Jika dahulu aktiviti menggerak masyarakat kampung untuk bersahur merupakan suatu aktiviti yang sangat signifikan kepada masyarakat Islam khususnya di kampung-kampung.

Akibat daripada peredaran masa dan arus kemodenan, aktiviti sebegini tidak lagi dipraktikan malah sudah dilupakan.

Bagaimanapun, ini tidak bagi sebilangan anak muda remaja yang berumur 15 hingga 25 tahun dari Kampung Hilir dekat sini apabila terus menjalankan aktiviti menggerak masayatakat untuk bangun dan bersahur.

“Sahur!… Sahur!… Sahur!… Ayuh kita sahur!” Itulah laungan yang memecah keheningan dinihari di Kampung Hilir di sini setiap kali tibanya bulan Ramadan.

Menggelarkan diri mereka ‘Team Gerak Sahur,’ mereka akan bergerak ke sekeliling kampung untuk mengejutkan penduduk agar bangun bersahur.

Menurut Ketua kumpulan Mohd Sabri Jimi, ‘Team Gerak Sahur’ ditubuhkan pada tahun 2017 dan setakat ini disertai seramai 50 ahli yang terdiri daripada golongan belia kampung terbabit.

“Kumpulan kami akan bergerak dengan berjalan kaki serta menunggang motosikal mengelilingi kampung sambil memukul gendang yang diperbuat daripada bahan terbuang seperti tong cat.

“Selain itu, terdapat batang penyapu kecil yang berfungsi sebagai pemukul gendang serta loceng tangan.

“Kami akan melaungkan ‘Sahur!’ untuk mengejutkan penduduk kampung agar bangun bersahur seawal jam 3 pagi,” katanya.

Mereka ketika ditemui ketika menjalankan aktiviti tersebut pada awal pagi Sabtu.

Mengulas lanjut, Mohd Sabri memberitahu, tidak seperti Ramadan sebelum ini di mana kawasan mereka untuk menjalankan aktiviti ini semakin luas apabila mereka perlu bergerak meliputi kawasan yang agak luas bermula dari Masjid Besar Sri Aman.

“Semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini, kami hanya melaksanakan program ini dalam kelompok kecil dan hanya di Kampung Hilir sahaja.

“Namun kini, kawasan liputan untuk mengejutkan orang kampung bangun bersahur sehingga ke kawasan Masjid Besar Sri Aman serta Kampung Hulu.

“Biasanya perjalanan kami mengambil masa kira-kira satu jam yang berakhir jam 4 pagi sebelum kami bersahur,” jelasnya.

Biarpun aktiviti sebegini dianggap sudah ketinggalan zaman, namun bagi anak-anak muda mereka sangat bangga kerana dapat berkhidmat kepada masyarakat di bulan yang mulia serta menggunakan masa terluang dengan aktiviti berfaedah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *