Tempatan

Teater Tari Kembara Datu Marapati Raja Negeri Santubong papar elemen budaya dan seni Melayu Sarawak

KUCHING: Setiap individu dan masyarakat penting untuk mengetahui serta memahami warisan sesebuah bangsa di Sarawak.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS), Datuk Abdul Wahab Aziz berkata, ini kerana Sarawak mempunyai pelbagai kaum dan seharusnya setiap individu dan masyarakat itu memahami aspek itu.

“Sekiranya kita kurang mengetahui tentang budaya suatu bangsa, mudah untuk timbul isu salah faham,” katanya.

Beliau berkata demikian dakam sidang media pementasan Teater Tari Kembara Datu Marapati Raja Negeri Santubong di sini pada Jumaat.

Dalam pada itu, seni dan budaya sesebuah masyarakat perlu terus dipamerkan sebagai pendedahan terutamanya kepada generasi muda.

Katanya lagi, ini membolehkan generasi muda hari ini mengetahui dan seterusnya memelihara seni dan budaya supaya ia tidak pupus ditelan zaman.

“Pemerkasaan budaya dalam kalangan anak muda kini semakin kurang.

“Jadi kita ingin menonjolkan budaya kita supaya mereka kita tahu latar belakang membabitkan aspek sejarah terutamanya budaya Melayu Sarawak,” katanya.

Mengambil langkah proaktif dalam memelihara warisan dan tradisi masyarakat Melayu di Sarawak, pementasan Teater Tari Kembara Datu Marapati Raja Negeri Santubong merupakan inisiatif AKYBMS dalam memelihara budaya Melayu.

Jelas Datuk Abdul Wahab lagi, persembahan teater ini kelak akan memaparkan beberapa elemen kebudayaan Melayu Sarawak termasuk tradisi Melayu Islam Beraja, seni tarian dan seni silat.

Teater Tari Kembara Datu Marapati Raja Negeri Sarawak mengisahkan pengembaraan Datu Marapati iaitu Raja Negeri Santubong dalam menjadikan Santubong sebagai sebuah kerajaan pada masa dahulu.

Teater tersebut akan ditayangkan pada 22 Julai 2022 bersempena Hari Sarawak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *