Tempatan

TEGAS Digital Village beri manfaat kepada usahawan tempatan ceburi perniagaan di peringkat global

KUCHING: Penubuhan TEGAS Digital Village (TDV) tepat pada masanya yang akan memberi manfaat kepada usahawan tempatan dan anak muda yang berkecimpung dalam dunia perniagaan secara global.

Menurut Pengerusi Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) Datu Len Talif Saleh, ini sekaligus dapat melahirkan ramai usahawan LiveWIRE mendapat manfaat daripada peluang publisiti dan rangkaian yang disediakan serta membantu mewujudkan pekerjaan yang baik.

Ujar beliau lagi, secara tidak langsung menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi sejajar aspirasi Kerajaan Sarawak untuk mempromosi keusahawanan dan meningkatkan permulaan perniagaan.

“Pemindahan teknologi dan pengkomersialan dalam pemerkasaan syarikat permulaan (startup) kini dirasai seluruh dunia.

“Oleh itu dengan adanya TEGAS Digital Village (TDV) ini ianya berperanan sebagai hab inovasi digital di Sarawak,” katanya semasa berucap Livewire Sarawak 2021 Award Ceremony di TDV pada Isnin.

Tambahnya, TEGAS telah menyokong usahawan LiveWIRE dengan menyediakan geran tambahan berjumlah RM115,000 sejak 2017.

Pada majlis itu, beliau telah menyampaikan hadiah kepada 5 Pemenang LiveWIRE Sarawak iaitu Aaron Tan Chun Kwang dari UAS Mapping, Nisha Haslinda Hasbi dari Bintulu Coffeescape, Anne Isabelle Chi dari Ruti & Kupi, Tom Low Sing Ho dari Bless Borneo Camper dan Muhammad Afiq Hariz Khatem dari Komubox yang masing-masing menerima hadiah RM15,000.

Dalam pada itu, Datu Len turut mengucapkan tahniah kepada bekas peserta dan pemenang LiveWIRE ini yang telah mengharumkan nama Sarawak dalam dunia keusahawanan.

“Kita merasa bangga kerana segelintir anak Sarawak melalui program Shell LiveWIRE telah diiktiraf dan mampu bersaing di peringkat global.

“Ini termasuklah pemenang LiveWIRE Sarawak iaitu Heineken Laluan yang telah terplilih di antara 100 syarikat permulaan (startup) dari Startup Istanbul dan bekas peserta yang juga pengasas perusahaan sosial Sulie Abell telah diiktiraf sebagai antara anak muda yang paling berjaya, inovatif dan berpengaruh di Malaysia,” ujarnya.

Beliau turut berharap kerjasama yang terjalin antara TEGAS dan SHELL Malaysia dalam meransang ekonomi tempatan melalui keusahawanan, inovasi pekerjaan dapat dicapai dan memberi impak kepada komuniti tempatan di Sarawak.

Dalam masa sama, syarikat dan sektor korporat lain yang terlibat sama dalam program seumpama ini dalam melengkapkan usaha Kerajaan Sarawak membina keupayaan yang memberi manfaat kepada rakyat Sarawak.

Hadir sama Pengerusi iCube Innovation Dato Patrick CJ Liew, Pengerusi Shell Malaysia & Timbalan Presiden Upstream Malaysia Ivan Tan, Pengarah Komunikasi Korporat Shell Malaysia Cindy Lopez dan Pengurus Besar TDV & TEGAS Innovation Hub Manzoor Hayat Khan. -SN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *