Tempatan

Telur, daging ayam cukup: Datuk Seri Alexander

KUCHING: Bekalan telur dan daging ayam di Sarawak dijamin mencukupi sepanjang Ramadan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memberitahu, jaminan tersebut diberikan oleh syarikat Central Coldstorage Kuching (CCK) selaku pengeluar telur dan ayam terbesar di Sarawak.

Katanya, pada masa sama, harga barangan juga terkawal, malah ada yang kurang daripada harga maksimum yang telah ditetapkan.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi Tinjauan Mesra Pelancaran OPS Pantau 2022 dan Pengenalan Talian Aduan Tambahan Sempena Bulan Ramadan Serta Hari Raya Aidilfitri di CCK Local City Mall Commercial Centre, di sini pada Ahad.

KPDNHEP tambahnya turut berasa lega kerana pihak CCK telah memberikan jaminan bekalan akan mencukupi di seluruh Sarawak.

“Bekalan dijangka mencukupi di seluruh negara setelah membuat pemantauan serta kajian melalui libat urus bersama dengan industri berkaitan.”

Justeru, beliau menggesa orang ramai agar tidak mengambil peluang untuk mengaut keuntungan yang tidak berpatutan setelah sempadan negara dibuka.

“Jangan suka-suka menaikkan harga barang, itu adalah kesalahan besar,” tegasnya.

Beliau tidak menolak kemungkinan ada peniaga menaikkan harga barangan susulan pelaksanaan kenaikan gaji minimum kepada RM1,500 bermula 1 Mei ini.

“Para peniaga telah diberikan amaran sekiranya bertindak menaikkan harga barang dengan mendadak dan diharap mereka mematuhinya.

“Nasihat kepada pengguna, jadi pengguna bijak. Gunalah aplikasi Price Catcher yang telah diwujudkan bagi membuat perbandingan harga sebelum membeli barang,” ujarnya. – SN

#sarawaknews
#hanyauntuksarawak

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *