Dunia

Tentera Rusia dan Ukraine bertempur kawal pengkalan udara

KYIV: Tentera Rusia dan Ukraine sedang bertempur untuk mengawal pangkalan udara di pinggir utara Kyiv.

Seorang pegawai kanan Ukraine berkata, pada ketika ini, berpuluh helikopter menyerang kawasan itu.

“Pertempuran sedang berlaku untuk merebut lapangan terbang Gostomel,” kata ketua angkatan tentera Valeriy Zaluzhny dalam satu kenyataan yang disiarkan dalam talian.

Tidak lama sebelum itu, wartawan AFP melihat helikopter terbang rendah di utara bandar.

Lapangan terbang Gostomel, yang bersebelahan dengan lapangan terbang Antonov, berada di pinggir utara Kiev, dan pertempuran itu paling hampir dengan ibu negara Ukraine pada hari pertama pencerobohan tentera Rusia.

Alexander Kovtonenko, penduduk berusia 30 tahun yang tinggal berdekatan berkata, bahawa dua jet pejuang melepaskan peluru berpandu ke arah unit tentera darat Ukraine ketika serangan berlaku.

“Kemudian berlaku tembakan, ia berlangsung selama tiga jam. Kemudian tiga lagi jet terbang masuk dan mereka mula menembak semula,” katanya kepada AFP.

Kepulan asap dari tempat kejadian dan imej media sosial menunjukkan serangan oleh helikopter tentera.

CNN menunjukkan rakaman tentera Rusia di lapangan terbang dan seorang wartawan berkata, dia bercakap dengan mereka.

Sebelum ini, pengawal sempadan Ukraine mengesahkan bahawa tentera darat Rusia yang dilengkapi dengan kereta kebal juga menyeberangi kawasan selatan melalui sempadan Belarus-Ukraine ke wilayah pentadbiran Kyiv, menuju ke ibu negara.-AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *