KUCHING: Kerajaan perlu menetapkan harga siling ke atas tiket penerbangan di antara Semenanjung dengan Sarawak termasuk Sabah.
Ini bertujuan untuk menangai isu harga tiket penerbangan yang mahal setiap kali musim perayaan.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, buat masa ini tiada harga siling ditetapkan dalam menentukan harga tiket penerbangan ke Sarawak dan Sabah.
Katanya, Kerajaan Sarawak sentiasa melihat isu kenaikan harga tiket penerbangan secara mendalam dan telah berunding dengan Kerajaan Persekutuan untuk mencari jalan penyelesaian.
“Mesti ada harga siling kerana ia tidak boleh kalau dari Kuala Lumpur ke Kuching sehingga RM2,000 hingga RM3,000. Itu memang tidak munasabah, ia perlu dilihat dari pelbagai sudut agar ia memberi situasi menang-menang kepada masyarakat dan syarikat penerbangan.
“Perbincangan kita berterusan tetapi kita kena praktikal juga jika harga murah dan sesetengah penerbangan hanya mempunyai 20 atau 30 penumpang maka operator akan rugi.
“Tetapi, daripada apa yang saya lihat, ia (harga) belum lagi ke harga itu malah harga tiket masih dalam kadar ratusan ringgit,” katanya pada sidang media selepas menyambut ketibaan penerbangan sulung Firefly dari Pulau Pinang ke Kuching pada Isnin.
Mengulas lanjut kenaikan harga tiket penerbangan, Dato Sri Abdul Karim berkata orang ramai perlu bijak membeli tiket penerbangan untik mengelak daripada membayar harga tiket yang mahal dengan membeli tiket dengan lebih awal.
“Jangan beli tiket penerbangan pada saat akhir yang mana semua orang nak balik pada masa sama, mestilah harganya lebih tinggi.
“Misalnya di Semenanjung tidak ada Gawai, mungkin sebelum Gawai penerbangan akan ditambah dari Johor ke Kuching,” katanya.