Tempatan

Tiada Bantuan Khas Aidilfitri buat penjawat awam Sarawak, hanya beri bonus di penghujung tahun – Abang Johari

GEDONG: Tiada Bantuan Khas Aidilfitri buat penjawat awam Sarawak  sebaliknya akan diberikan bonus pada hujung tahun ini. 

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, adalah lebih baik mengutamakan pendidikan anak-anak di hujung tahun berbanding menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri.

“Sebab itu kerajaan Sarawak memutuskan pada festival (Hari Raya Aidilfitri) pandai-pandailah kita berbelanja. Sekiranya kita memberi (bantuan Aidilfitri) ia akan menyuruhnya (rakyat) makin berbelanja. 

“Apa yang penting ialah persekolahan anak-anak. Jadi, saya melihat jika ada rezeki lebih, biarlah saya memberi (bonus) pada hujung tahun,” katanya.  

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Penyampaian Pampasan Projek Gedong Mini Isthmus Master Plan di sini pada Rabu. 

Jelas Abang Johari lagi, kita akan kumpulkan semua (hasil) dan ini adil kepada semua kaum. 

“Yang ini (hasil) kita kumpulkan semua. Jadi, kita adil kepada semua masyarakat. Kita ada Gawai, Tahun Baru Cina dan Hari Raya. Jadi, hujung tahun kita beri (bonus). 

“Jadi, (bonus) itu dapat bantu ibu bapa kita daripada belanja sekolah. Anak-anak bersekolah lebih penting daripada kita berhari raya,” jelasnya. 

Langkah ini diambil untuk memastikan semua rakyat Sarawak dapat menikmati manfaat daripada dana kerajaan  Sarawak dengan adil.

Malah, tegasnya, pendidikan anak-anak harus diutamakan dan bonus yang akan diberikan pada hujung tahun ini boleh digunakan unthk membiayai pendidikan anak-anak. 

Exit mobile version