Tempatan

Tiada diskriminasi peluang bangsa dan agama dalam pendidikan tinggi di Sarawak

KUCHING: Pembinaan kampus baharu Kolej Universiti i-CATS (i-Cats UC) berhampiran Kampung Trombol di Telaga Air akan memberi ruang kepada rakyat Sarawak dalam menimba ilmu dan kemahiran tanpa mengira kaum dan agama.

Menurut Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, pembinaan kampus baharu i-Cats UC itu tidak mendiskriminasikan peluang itu berdasarkan bangsa atau agama.

“Unsur pilih kasih tidak wujud meskipun pembinaan kampus baharu i-Cats UC terletak di kawasan lain.

“Hal ini kerana ia bukan sahaja memberi peluang untuk semua masyarakat di Sarawak tetapi juga disasarkan kepada pelajar di peringkat antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pengisytiharan Konvokesyen ke-24 Sarawak Skills dan i-Cats UC menerusi teks yang dibacakan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Roland Sagah Wee Inn pada Sabtu.

Dalam pada itu, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari yang juga Canselor Universiti i-Cats mendedahkan i-Cats UC turut komited dalam melengkapkan usaha Kerajaan Sarawak untuk membangunkan masyarakat yang berkembang maju, didorong oleh data dan inovasi.

Katanya, i-Cats UC sedang membangunkan pelbagai program dalam bidang Sarjana Muda, Sarjana dan ijazah doktor falsafah (PhD) bagi menyokong pertumbuhan sektor ekonomi utama Sarawak.

“Program-program ini sejajar dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 Sarawak 2030 (PCDS 2030).

“Misalnya, baru-baru i-Cats UC telah melancarkan dua program iaitu Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Agroteknologi dan Ijazah Sarjana Muda Pelancongan dan Hospitaliti (Kepujian),” ujarnya lagi.

Hadir sama, Pro-Canselor i-Cats UC Datuk Amar Michael Manyin Jawong, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Francis Harden Hollis, Naib Pengerusi I Majlis Pengurusan Sarawak Skills dan Pengurus Besar Petronas Sarawak Zulaihi Mohd Mantali.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *