Tempatan

Tiada kompromi jika jual juadah basi – MDL

LIMBANG: Majlis Daerah Limbang (MDL) tidak akan berkompromi dan mengambil tindakan tegas kepada peniaga bazar Ramadan di sini yang menjual juadah basi sekiranya dikesan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Limbang.

Wali Kota MDL, Kaunselor Sufian Mohat berkata, pihaknya kini sedang menunggu laporan KKM berhubung hasil pemeriksaan, pemantauan dan operasi selepas mendapatkan sampel makanan mahupun minuman yang dijual di bazar tersebut.

Ujarnya, ini selepas beberapa aduan yang diterima pihaknya berhubung makanan basi yang dijual segelintir peniaga bazar Ramadan Limbang selain turut tular dalam media sosial seperti Facebook pada Selasa. 

Tegasnya, MDL tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas dengan membatalkan permit berjual di bazar berkenaan, jika didapati peniaga tersebut melanggar syarat dan peraturan termasuk faktor kebersihan juadah.

“KKM ada menjalankan pemeriksaan tiga kali untuk membuat pemantauan terutamanya membuat pemeriksaan terhadap jualan para peniaga,” katanya kepada TVS pada Rabu susulan timbul dakwaan orang ramai yang membeli makanan basi di Bazar Ramadan Limbang.

Justeru itu, Sufian menasihatkan para peniaga agar bertanggungjawab dan menjalankan etika perniagaan secara berhemah dengan memastikan makanan yang dijual adalah selamat untuk pelanggan dan pengunjung.

“Peniaga harus mementingkan kebersihan makanan agar tidak mendatangkan masalah kesihatan kepada pelanggan,” katanya. 

Terdahulu, orang ramai meluahkan rasa kecewa mereka di media sosial dengan mendakwa ada peniaga yang menjual juadah basi kepada orang ramai di bazar Ramadan ini. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *