KUCHING: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, tidak masalah dan halangan besar untuk menurunkan kuasa autonomi bidang pendidikan kepada Sarawak.
Katanya, Kerajaan Malaysia hanya perlu menurunkan kuasa autonomi pendidikan kepada Kerajaan Sarawak tanpa perlu meminda sebarang Perlembagaan Persekutuan.
“Pada pandang saya, tidak ada halangan besar untuk itu, bahkan Sarawak sendiri membuat keputusan untuk mewujudkan sekolah-sekolah tertentu di negeri ini.
“Saya fikir, Kerajaan Persekutuan tidak akan membantah penurunan kuasa ini kerana jika pindaan yang tidak melibatkan perlembagaan, keputusan tersebut akan diputuskan sendiri oleh kerajaan,” katanya dalam Majlis Pelancaran Kaunter Pembiayaan Mikro Penjaja dan Peniaga Kecil Bank Rakyat 2.0 di Pusat Khidmat Parlimen Santubong, Kuching pada Sabtu.
Ujarnya, beliau belum dimaklumkan mengenai perkara terbabit kerana kebiasaannya beliau hanya akan diberitahu apabila ia melibatkan proses undang- undang.
Dalam pada itu, jelas Daruk Seri Dr Wan Junaidi lagi, Jawatankuasa Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan membincangkan mengenai penurunan kuasa autonomi dalam bidang pendidikan kepada Sabah dan Sarawak.
“Dalam masa sama, Premier Sarawak dan Ketua Menteri Sabah turut akan menghadiri perbincangan terbabit.
“Selepas perbincangan itu mencapai kata sepakat, barulah penurunan kuasa akan diputuskan,” jelasnya.
Terdahulu Timbalan Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Mohamad Alamin memberitahu penurunan kuasa pendidikan kepada Sarawak dan Sabah akan lebih memudahkan kedua-dua negeri tersebut melaksanakan dan mempercepatkan setiap projek pembangunan pendidikan, seperti yang diharapkan rakyatnya.
Penurunan kuasa itu termasuklah menentukan sendiri dari segi pelaksanaan projek pendidikan, pelantikan jawatan dan sebagainya berlandaskan kepada garis panduan yang telah ditetapkan Kementerian Pendidikan Malaysia.