Nasional

Tidak boleh main bunga api selepas jam 12 malam – PDRM

KUALA LUMPUR: Polis Di Raja Malaysia (PDRM) mengingatkan orang ramai tidak bermain bunga api selepas jam 12 malam.

Menurut PDRM, selepas tengah malam ia dikhuatiri mengganggu ketenteraman atau membahayakan orang lain yang merupakan satu kesalahan yang boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 13, Akta Kesalahan Kecil 1955 [Akta 336], demikian amaran Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Jelas Setiausaha PDRM, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin, akta berkenaan memperuntukkan denda tidak melebihi RM100, jika sabit kesalahan.

“Bunga api merupakan bahan letupan dikategorikan sebagai Dangerous Good Cargo (DGC) dan Hazard Class Division (HCD) 1.4g. Sekiranya dimainkan secara merbahaya boleh mendatangkan kecederaan.

“Bermain bunga api hendaklah membakarnya di kawasan lapang agar tidak mengganggu ketenteraman awam dan mendatangkan kegusaran kepada penduduk setempat,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Ahad.

Ujarnya lagi, individu yang sengaja menyebabkan letupan atau menyimpan bahan letupan dengan niat untuk menyebabkan bahaya kepada nyawa atau harta benda pula boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 7 Akta Bahan Letupan 1957 yang membawa hukuman penjaran tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

“PDRM mengingatkan seluruh masyarakat terutamanya ibu bapa, hendaklah mengawasi anak-anak ketika bermain bunga api, bertanggungjawab serta mengamalkan langkah-langkah keselamatan semasa mengendalikan bunga api dalam mana-mana sambutan perayaan,” katanya.

Exit mobile version