Tempatan

Tidak perlu perjanjian baharu, Sarawak mahu syarat MA63 dilaksana

GEDONG: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, tiada keperluan untuk membuat perjanjian baharu kerana Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) merupakan asas kepada pembentukan Malaysia.

Tegasnya, Sarawak hanya berkehendak agar syarat-syarat yang termaktub dalam MA63 dan hasil Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) dilaksana.

“Jika perjanjian baharu dibuat, ini bermaksud perjanjian lama akan terbatal.

“Saya rasa bahawa menteri-menteri kita telah membuat kenyataan dan dari sudut negeri Sarawak, itu adalah asas kepada MA63 yang menubuhkan negara dan ini telah dipersetujui oleh pemimpin kita dahulu.

“Apa yang berlaku sekarang ialah kebanyakan daripada syarat-syarat yang dipersetujui telah terhakis dan apa yang kita buat sekarang ialah untuk menuntut kembali syarat-syarat,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Penyerahan lembu dan daging korban DUN Gedong di Masjid Al-Kawthar Gedong, di sini pada Sabtu.

Menjelas lanjut mengenai tuntutan lain yang dikemukakan oleh Sabah dan Sarawak, Abang Johari memberitahu ia berkaitan dengan Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.

“Ia berkaitan dengan sumbangan modal kerana dalam 112D, apa yang kita kehendaki ialah ia mesti mengikut satu formula daripada pendapatan diterima dari Sarawak dan mungkin kita cari peratusan yang bagus balik kepada Sarawak untuk 112D.

“Alhamdullilah, saya sudah menerima maklum balas yang mana dalam IGC kita mesti ada wakil di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan sekarang mereka telah meminta kita menghantar nama untuk wakil dalam LHDN.

“Ini bermakna kalau LHDN kita ada wakil, kita tahu berapa pendapatan dan kita tahu berapa jumlah yang akan diberikan kepada kita (Sarawak),” katanya yang turut memberitahu Kerajaan Sarawak tidak mahu memberikan tekanan kepada Kerajaan Persekutuan di mana ia perlu mengikut formula menang-menang antara kedua-dua pihak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *