Tempatan

Tiga superman ditahan di Bulatan Datuk Amar Abang Haji Suleiman Bin Haji Taha, Kuching

KUCHING: Tiga remaja lelaki mempertaruhkan nyawa menunggang motosikal dengan lagak ala superman membawa padah apabila ditahan, malam semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, ketiga-tiga suspek masing-masing berumur 16, 17 dan 20 tahun ditahan menerusi Op Samseng Jalanan di Bulatan Datuk Amar Abang Haji Suleiman Bin Haji Taha.

Katanya, ketiga suspek melakukan aksi superman, mengangkat kedua belah kaki lurus ke belakang dan menundukkan badan di Jalan Tun Datuk Patinggi Haji Abdul Rahman Yakub, di sini.

“Suspek telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching untuk tindakan lanjut dan ditahan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Kesalahan boleh didenda RM5,000 ke RM15,000 dan penjara tidak kurang dari lima tahun serta hilang kelayakan lesen sehingga lima tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, operasi yang bermula jam 11 malam sehingga jam 4.30 pagi turut mengeluarkan sebanyak 17 keping saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas.

“Dua keping saman dikeluarkan kerana tiada lesen memandu, lima keping saman nombor pendaftaran tidak ikut peraturan, tiga keping saman ubah suai ekzos, tiga keping saman ubahsuai struktur peralatan kenderaan, satu keping saman hon tidak berfungsi dan tiga keping saman tiada cermin sisi,” katanya.

Beliau berkata, Op Samseng Jalanan akan dilaksanakan secara berterusan bagi mengesan pemandu atau penunggang yang memandu atau menunggang secara merbahaya dalam usaha untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya khususnya kemalangan maut di daerah ini. -SUARA SARAWAK

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *