Tempatan

Tiga Timbalan Premier Sarawak terima Toyota Mirai berkuasa hidrogen

KUCHING: Tiga Timbalan Premier Sarawak menerima Toyota Mirai yang menggunakan sel bahan api hidrogen (FCEV) yang mesra alam.

Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Husain telah menyerahkan tiga unit kenderaan tersebut kepada Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Dato Sri Dr. Sim Kui Hian, disaksikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia, di sini pada Rabu. 

Menurut SEDC Energy dalam kenyataan medianya berkata, kenderaan itu akan membuka jalan untuk Kerajaan Sarawak menilai dan membangunkan penyelesaian mampan jangka panjang untuk penghijauan sistem pengangkutan kerajaan sedia ada.

Ujar kenyataan itu lagi, usaha itu juga merupakan penanda aras kejayaan Sarawak dalam meneruskan Mobiliti Hijau dan Inisiatif Tenaga Hijau.

“Ia memberi peluang untuk mengkaji lebih lanjut potensi FCEV untuk pengembangan ekonomi rendah karbon yang mengutamakan saiz padat, kecekapan dan produktiviti untuk menyokong keperluan mobiliti semasa,” kata kenyataan itu. 

Pada Januari lalu, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari turut mula menggunakan kenderaan itu.

Toyota Mirai itu merupakan model generasi kedua yang mula diperkenalkan di Jepun pada Disember 2020.

Hidrogen disimpan di dalam tiga tangki kereta, pertambahan berbanding dua tangki pada model sebelumnya. Ini memberikan jarak pemanduan sehingga 850km.

Tambah kenyataan itu lagi, SEDC Energy bercita-cita untuk mempelopori masa depan sifar emisi di Sarawak dengan mempamerkan keupayaan dan mewujudkan kesedaran kepada orang ramai mengurangkan kesan perubahan iklim dalam mobiliti melalui Kenderaan Tenaga Baharu.

Katanya lagi, penggunaan Toyota Mirai menunjukkan komitmen Premier dan Timbalan Premier dalam merealisasikan peralihan ekonomi hijau Sarawak menjelang 2030.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *