Tempatan

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak bidas kenyataan Ahli Parlimen Sarikei

KUCHING: Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato Mancha Ata membidas kenyataan Ahli Parlimen Sarikei, Andrew Wong Ling Biu yang menyifatkan pihak polis tidak menjalankan siasatan secara teliti dalam menyelesaikan satu kes kecurian.

Dalam satu kenyataan pada Ahad, Dato Mancha berkata kenyataan Andrew Wong yang disiarkan dalam portal berita See Hua News Online pada 11 Jun 2022 mengatakan pihak polis tidak menjalankan siasatan secara teliti sehingga tidak dapat menjumpai semua barang yang hilang adalah tidak berasas, berniat jahat dan sengaja ingin menjatuhkan imej serta kredibiliti PDRM.

“Berdasarkan kenyataan daripada sumber See Hua News Online bertarikh 11.06.2022, YB Andrew Wong Ling Biu ahli Parlimen P.208 Sarikei Democratic Action Party (DAP) dan Wong Ling Beng, Pihak polis mengesahkan telah menerima satu laporan berkenaan kejadian pecah pejabat beralamat di kawasan Jalan Wharf, Sarikei pada 25.04.2022 dan satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

“Pada hari yang sama, pihak polis telah berjaya menangkap seorang lelaki berumur 29 tahun dan telah merampas (104) bentuk loket azimat Buddha pelbagai jenis, seutas rantai warna silver, (4) keping kad azimat Buddha.

“Setelah siasatan berjaya dilengkapkan dan berpuas hati dengan segala keterangan yang diperolehi, Kertas Siasatan telah dirujuk ke Pejabat Pendakwaan Negeri Sarawak dengan cadangan pertuduhan terhadap saspek dibawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

“Walau bagaimanapun, selaras dengan peruntukan di bawah Artikel 145(3) Perlembagaan Persekutuan, Pejabat Pendakwaan Negeri Sarawak telah memutuskan untuk menuduh saspek dibawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan kerana memiliki barang curi,” menurutnya dalam kenyataan tersebut.

Dato Mancha menambah pihak polis percaya bahawa keputusan menuduh di bawah Sek.411 Kanun Keseksaan telah dibuat berdasarkan kepada keterangan dan pertimbangan yang sewajarnya.

Tegasnya, adalah tidak adil untuk mana-mana pihak mempertikaikannya kerana segala keterangan telah pun dikemukakan di mahkamah.

Tambah beliau, saspek telah mengaku salah dan telah dijatuhkan hukuman penjara selama 8 bulan dari tarikh tangkapan.

“Saspek kini menjalani hukuman di penjara Sibu. Keputusan pihak mahkamah dalam kes ini juga tidak wajar dipertikaikan kerana terdapat proses dan saluran tertentu boleh digunakan sekiranya tidak berpuashati dengan keputusan tersebut.

“PDRM ingin menegaskan bahawa apa jua siasatan yang dijalankan, ianya telah di laksanakan secara adil, saksama dan penuh dedikasi dalam memastikan keadilan dapat ditegakkan selari dengan peranan dan tanggungjawab polis untuk menjaga keamanan dan keselamatan masyarakat,” katanya lagi. – SN

#sarawaknews
#hanyauntuksarawak

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *