KUCHING: Kek ‘palak meja’ atau dikenali sebagai ‘palak meja’ yang suatu ketika menjadi dahulu menjadi tradisi bagi masyarakat Melayu Sarawak ketika Hari Raya Aidilfitri kini semakin pudar ditelan peredaran zaman.
Ia pernah menjadi fenomena sekitar tahun 60-an hingga 80-an di mana tradisi kuih palak meja (kepala meja) ini yang merupakan seloyang kek lapis yang diletakkan di atas meja ruang tamu bersama dengan kek-kek lapis yang lain dalam kiraan empat hingga 40 loyang kek lapis pelbagai jenis.
Mengikut tradisi masyarakat Melayu Sarawak, kek ‘palak meja’ ini disyaratkan tidak boleh dipotong oleh tuan rumah atau dihidangkan kepada tetamu, tetapi ia hanya menjadi ‘rezeki mata’ untuk dilihat mereka yang bertandang beraya.
Bagaimanapun, jika tetamu ingin merasai kek palak meja dan meminta tuan rumah memotongnya, tuan rumah berhak mengenakan sebarang bayaran tertentu kepada tetamu sebagai galang ganti atau harga kek palak meja berkenaan.
Menyedari tradisi ini, kian lenyap dalam masyarakat Melayu Sarawak, pada sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini, Noriah Kapli telah menghidangkan 38 jenis kek lapis termasuk seloyang palak meja seperti orang tua terdahulu.
“Palak meja saya pada Aidilfitri ini adalah kek Hati Parek,” katanya ketika dikunjungi di kediamannya di Kampung Paruh, Kuching Sarawak.
Ujar wanita berusia 51 tahun ini, beliau berpengalaman lebih 20 tahun membuat kek lapis.
Menceritakan tempoh masa diambil membuat kesemua kek-kek ini, Noriah memberitahu mula mengadun tepung serta melapis adunan bagi dihidangkan pada Aidilfitri kali ini seawal 6 Ramadan lagi.
“Membuat kek lapis ini mengikut ketenangan fikiran. Oleh itu, setiap hari saya akan membuat antara 16 hingga 20 jenis kek lapis sehari,” ujarnya lagi.
Tambahnya lagi, selain minat usahanya turut dicernakan kepada sumber pendapatan iaitu perusahaan membuat kek lapis yang dijalankan bersama adiknya.
“Setelah selesai membuat 38 kek lapis untuk diri sendiri, baharulah saya membuat kek lapis yang ditempah oleh para pelanggan,” jelasnya sambil memberitahu pada tahun ini telah menerima tempahan 150 loyang pelbagai jenis kek lapis berjaya disiapkan tepat pada 27 Ramadan lalu.
Jumlah ini adalah tiga kali ganda daripada biasa perayaan Hari Raya Aidilfitri sebelum ini.
“Boleh saya katakan orang kita beraya kali ini amat hebat kerana jika sebelum ini tempahan yang saya terima kebanyakkannya adalah setengah loyang atau satu lof sahaja.
“Namun setelah dua tahun kita tidak beraya dan tahun ini dibenarkan meraikan Hari Raya…Alhamdulillah, saya menerima tempahan yang amat banyak,” ujarnya lagi.
Sumber artikel asal Wacanakini.com