Tempatan

Transformasi teknologi dan penyelidikan pertanian untuk tingkatkan pendapatan petani RM5,000 sebulan

KUCHING: Kementerian Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Sarawak (MANRED) dan Jabatan Pertanian Sarawak (DOA) harus merangka pelan pembangunan pertanian menyeluruh serta mengamalkan pertanian secara berkelompok.
 
Menterinya Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom berkata, ini bertujuan memastikan setiap rancangan yang dirancang mencapai matlamat sekaligus memberi mandat kepada petani di Sarawak.
 
“Jabatan Pertanian Sarawak sebagai agensi pelaksana di bawah Kementerian Pemodenan Pertanian Dan Pembangunan Wilayah harus mentransformasikan teknologi pertanian, penyelidikan pertanian dan memperkasakan aktiviti pengembangan bagi mencapai KPI (Key Performance Indicators) jabatan untuk meningkatkan pendapatan golongan petani di Sarawak pada paras RM5,000 sebulan,” katanya.
 
Beliau berkata selepas menghadiri taklimat Jabatan Pertanian Sarawak di Bilik Mesyuarat Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Baru pada Rabu.
 
Taklimat disampaikan Pengarah Pertanian Sarawak bersama Timbalan Pengarah Pertanian, Ketua Bahagian, Ketua Cawangan, Pegawai Pertanian Bahagian Kuching, Samarahan Serian dan turut diadakan secara maya bagi pegawai yang berada luar dari Bahagian Kuching.
 
Taklimat merangkumi fungsi, peranan dan halatuju dalam merangka strategi pembangunan pertanian secara agresif dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
 
Pada sebelah petang, Dato Sri Dr. Stephen Rundi telah mengadakan lawatan kerja rasmi ke Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Rampangi.
 
Kejayaan TKPM Rampangi melaksanakan sistem Internet Untuk Semua (IOT) dalam mengeluarkan bahan makanan seperti buah-buahan, sayur-sayuran dan sebagainya menjadi ikon bagi memperluaskan perlaksanaan sistem pertanian ini ke semua projek pertanian di Sarawak.
 
Hadir sama Menteri Muda Pemodenan Dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr. Haji Abdul Rahman Haji Ismail (Pemodenan Pertanian) dan Menteri Muda Maclaine @ Martin Ben (Pembangunan Wilayah), Setiausaha Tetap MANRED Datu Edwin Abit, Pengarah Pertanian Sarawak, Dr. Alvin Chai Lian Kuet, Penolong Setiausaha Bahagian Pertanian dan Industri Agromakanan MANRED Dr. Gluma Saban, Timbalan Pengarah Pertanian, Dominic Chunggat, Ketua Bahagian Pengembangan Ronald Ripid, Ketua Cawangan Komunikasi Korporat Unjah Awit dan pegawai dari Jabatan Pertanian Sarawak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *