Tempatan

Tun Pehin Sri Abdul Taib angkat sumpah pelantikan sebagai TYT Yang di-Pertua Negeri Sarawak bagi penggal ketiga

KUCHING: Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud mengangkat sumpah pelantikan sebagai Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sarawak bagi penggal ketiga pada Selasa.

Istiadat angkat sumpah telah diadakan di Dewan Lapau, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak itu dimulakan dengan memohon perkenan Yang di-Pertua Negeri Sarawak bagi memulakan istiadat oleh Pendaftar Istiadat Datu Mustapa Han.

Sejurus selepas itu, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg membacakan surat cara pelantikan Yang di-Pertua Negeri Sarawak.

TYT Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Taib kemudiannya mengangkat sumpah pelantikan serta menandatangani surat angkat sumpah bersaksikan Hakim Besar Sabah Sarawak Tan Sri Dato’ Abang Iskandar Abang Hashim dan menandatangani surat pengisytiharan yang disaksikan oleh Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari.

Dalam pada itu, TYT Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Taib mengangkat sumpah pelantikan semula sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa pada tarikh angkat sumpah iaitu 1 Mac 2022 setelah diperkenankan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’Ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan menerima Surat Cara Pelantikan di Istana Negara, Kuala Lumpur pada 28 Februari 2022.

Terdahulu, TYT Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Taib tiba di Kuching pada tengah hari Selasa setelah  menerima surat cara pelantikan bagi menyambung khidmatnya selama dua tahun daripada Yang di-Pertuan Agong di Dewan Sri Setia Istana Negara pada Isnin.

Lantikan pertama TYT Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Taib Tun Taib ke jawatan tersebut adalah pada 1 Mac 2014 manakala lantikan kedua pada 1 Mac 2018.

Untuk rekod, TYT Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Taib Tun Taib menerima Hormat Diraja daripada Pasukan Kawalan Kehormatan Utama Batalion ke-10 Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarawak di pekarangan DUN Sarawak.

Hadir sama ialah isteri Yang di-Pertua Negeri Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib, isteri Premier Sarawak Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Jaul Samion serta tetamu kenamaan yang lain.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *