Menarik Sukan

Ucapan semangat peminat Malaysia ada di bilik persalinan pemain Man United

KUALA LUMPUR: Siapa sangka di sebalik kejayaan Manchester United menamatkan kemarau enam tahun tanpa trofi dengan muncul juara Piala Liga, rupa-rupanya ada rakyat Malaysia yang turut menyumbang kepada kejayaan itu.

Dalam satu hantaran di Instagram rasmi Manchester United, seorang individu bernama Ainan menitipkan ucapan semangat kepada kelab Red Devils dan kata-katanya itu diletakkan dalam bilik persalinan bersebelahan baju tonggak pertahanan, Raphael Varane.

“Terima kasih atas segala usaha keras selama ini. Saya mengucapkan selamat maju jaya untuk perlawanan final (Piala Liga) nanti,” tulis Ainan.

Terdahulu Manchester United dinobatkan sebagai juara Piala Liga selepas menewaskan Newcastle United 2-0 pada aksi final yang berlangsung di Wembley awal pagi Isnin.

Tandukan pemain tengah Casemiro dan rembatan Marcus Rashford yang terkena pertahanan Newcastle sebelum menerjah gawang membolehkan United meraih trofi pertama sejak 2017.

Untuk rekod trofi Piala Liga itu yang pertama untuk Manchester United sejak enam tahun lalu yang mana kali terakhir mereka muncul juara Liga Europa dan Piala Liga di bawah bimbingan Jose Mourinho.-BERITA HARIAN 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *