KUCHING: Universiti Malaysia Pahang (UMP) Holdings Sdn Bhd akan mengaplikasikan kaedah digunakan Sarawak di Sarawak untuk membangunkan Bandar Pintar dan Kampus Pintar di Pahang.
Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts Dr Yuserrie Zainuddin berkata kerjasama dengan Sarawak amat diperlukan memandangkan konsep seumpama itu juga akan digunakan untuk daerah-daerah di Pahang pada masa akan datang.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Wisma Bapa Malaysia di sini pada Isnin.
Rombongan diketuai Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman itu bertujuan mendapatkan perkembangan serta atur cara konsep ‘Bandar Pintar’ (Smart City) yang dilaksanakan di peringkat Kerajaan Sarawak.
“Untuk kunjungan kali ini kita mahu melihat bagaimana kita dapat bekerjasama untuk terus melaksanakan aktiviti-aktiviti berkaitan Smart City kerana kita akan menggunakan kaedah di sini kepada Smart Campus di UMP dan seterusnya kepada daerah-daerah Smart City di Pahang,” katanya kepada media selepas kunjungan tersebut.
Katanya, Kampus Pintar UMP akan terus melaksanakan aktiviti-aktiviti berkaitan Bandar Pintar menerusi kaedah yang digunakan di Sarawak.
Ini merupakan kunjungan kali kedua UMP ke atas Premier Sarawak di mana kunjungan pertama mereka sebelum ini bersama Sarawak Multimedia Authority (SMA) turut membincangkan mengenai perkara sama. –SN