Nasional

UNIFOR bantu 251 projek pembinaan, penambahbaikan, naik taraf rumah ibadat

KUCHING: Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) telah membantu 251 projek pembinaan, penambahbaikan dan naik taraf rumah ibadat di seluruh negeri yang berjumlah RM50 juta pada tahun ini.

Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, selain itu Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg juga telah meluluskan lima projek tahun ini yang berjumlah RM14.7 juta di bawah Projek Rakyat untuk tujuan yang sama.

“UNIFOR juga telah diperuntukkan RM15 juta pada tahun ini untuk membantu sekolah mubaligh di seluruh Sarawak untuk menyelenggara bangunan dan kawasan mereka.

“Senarai penerima sedang dimuktamadkan dan bantuan akan disalurkan tidak lama lagi,” katanya dalam ucapan penggulungan bagi Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan pada persidangan DUN di sini, hari ini.

Uggah yang juga Timbalan Premier berkata, di kawasan DUN Tamin, permohonan bantuan dana bagi Sekolah Kebangsaan (SK) St Mark di Selangau dan St Matthew Sekuau juga di Selangau termasuk di bawah peruntukan pada tahun ini.

Katanya pada tahun lepas, kedua-dua sekolah berkenaan telah diluluskan peruntukan masing-masing RM120,000.

“Bagi meringankan beban kos operasi rumah ibadat akibat kesan pandemik COVID-19, kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) memperuntukkan RM5 juta geran operasi yang memberi manfaat kepada 193 rumah ibadat pelbagai agama pada tahun ini,” katanya.

Uggah berkata kerajaan GPS akan terus mengukuhkan dasar keterangkuman selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang dapat dilihat melalui bantuan dana yang diberikan kepada rumah ibadat dan sekolah misi di Sarawak.

Mengenai isu berkaitan elaun ketua masyarakat dan ketua kaum, kerajaan masa ini belum mempunyai cadangan menaikkan kadar elaun minimum ketua masyarakat dan ketua kaum.

“Seperti semua sedia maklum, perkhidmatan ini adalah secara sukarela dan penyandang bukanlah berstatus penjawat awam.

“Tambahan pula Perintah Gaji Minimum 2022 hanya terpakai kepada pekerja di sektor swasta sahaja, oleh yang demikian ia tidak membabitkan perkhidmatan bagi ketua masyarakat dan ketua kaum negeri Sarawak,” tegasnya.

Uggah berkata, bagi cadangan untuk mewujudkan jawatan temenggung Melayu di Serian, kerajaan ambil maklum terhadap perkara yang dibangkitkan dan akan mempertimbangkan cadangan tersebut sewajarnya.

Sementara itu, kerajaan telah menerima permohonan untuk mewujudkan tambahan jawatan penghulu bagi kawasan Bau dan akan mempertimbangkannnya selaras dengan kriteria yang telah ditetapkan.-UTUSAN BORNEO

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *