Tempatan Usaha mengembalikan hak Sarawak dalam MA63 & Laporan IGC lebih penting berbanding...

Usaha mengembalikan hak Sarawak dalam MA63 & Laporan IGC lebih penting berbanding jawatan TPM

14

KUCHING: Usaha mengembalikan hak Sarawak seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) adalah lebih penting berbanding jawatan Timbalan Perdana Menteri, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg. 

Ujar Premier Sarawak lagi, Kerajaan Sarawak yang dipimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) juga tidak mempunyai agenda tersembunyi untuk melobi jawatan Timbalan Perdana Menteri. 

Tambahnya, sekiranya jawatan berkenaan diserahkan kepada wakil rakyatnya, perkara itu tidak menjadi masalah.

“Bahkan ini akan mengukuhkan kedudukan Sarawak untuk terus memperjuangkan hak dalam MA63 dan Laporan IGC.

“Kita tidak pernah mendesak untuk apa-apa. Oleh sebab itu, jawatan TPM tidak menjadi keutamaan kerana kita tidak mempunyai agenda untuk mendapatkannya namun kalau orang beri, kita ambillah,” katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi Kelab Backbenchers GPS di sini pada Khamis.

Mengulas lanjut, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari memaklumkan bahawa beliau juga telah menyatakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya Kerajaan Persekutuan melunaskan perkara berkaitan MA63 dan IGC.

Menurutnya, sekiranya perjanjian itu dihormati, GPS akan dapat mentadbir Sarawak dengan lebih baik.

Previous articleTerima kasih Premier Sarawak
Next articleGPS hormati cadangan Yang di-Pertuan Agong dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan
Sarawak News merupakan sebuah platform berita yang memaparkan berita, informasi dan maklumat mutakhir yang berlaku di Sarawak Bumi Kenyalang. Semestinya ianya benar, betul dan sahih hanya untuk rakyat Sarawak

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here