MIRI: Usahawan belia digesa menceburi dan menyesuaikan diri dalam ekonomi digital.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, dalam era ekonomi digital, adalah penting untuk usahawan belia menyesuaikan diri dengan landskap bidang perniagaan terkini, terutamanya perniagaan secara dalam talian atau e-dagang.
“Saya menyeru agar belia Sarawak mengambil ini untuk melibatkan diri dalam ekonomi digital dengan mengaplikasikan kemudahan digital dan akses media sosial.
“Wujudnya portfolio baharu untuk pembangunan usahawan, saya percaya kementerian akan merangka dan mempergiatkan program pembangunan usahawan bagi melonjakkan keupayaan serta kemahiran usahawan dalam kalangan belia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program Youth Entrepreneur Setup (YES) 2022 di sebuah hotel terkemuka pada Sabtu.
Dato Sri Abdul Karim menambah, kementeriannya baru-baru ini telah melancarkan kalendar program bagi tahun 2022 dalam pelbagai program belia, sukan dan keusahawanan telah dirangka untuk dilaksanakan di seluruh bahagian.
Antara program pembangunan usahawan yang telah dirancang termasuklah Program Youth Entrepreneur Setup (YES), Bazaar Usahawan Belia Sarawak, Car Boot Sale and Flea Market dan banyak lagi.
Katanya lagi kementerian akan terus komited dalam menyediakan lebih banyak program keusahawanan sebagai platform kepada para usahawan belia; baik di dalam bidang ‘start-up’ mahupun ‘social enterprise’.
“Belia Sarawak harus menanam mentaliti daripada pencari pekerjaan kepada pemilik atau pengusaha perniagaan dan menyahut seruan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg untuk merebut peluang dalam ekonomi digital.
“Harapan saya agar belia yang hadir pada YES hari ini mengambil pengalaman dari program ini untuk mempersiapkan diri menjadi usahawan yang cemerlang pada masa hadapan,” katanya.
Mengulas YES, beliau berkata, ia pertama kali dilancarkan di Miri dan akan diperluaskan ke bahagian lain seluruh Sarawak.
Dato Sri Abdul Karim berharap ia dapa dijadikan program program tahunan kerana ia signifikan dalam merealisasikan hasrat kerajaan untuk melahirkan dan membentuk usahawan belia Sarawak yang dinamik, berdaya saing serta berfikiran global.
Pada program tersebut turut diadakan sesi ‘townhall’ dengan para peserta usahawan belia.
Hadir sama Ahli Parlimen Sibuti Lukanisman Awang Sauni, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dr Ripin Lamat dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Rosey Yunus.