Nasional Usul undi percaya hak prerogatif Anwar

Usul undi percaya hak prerogatif Anwar

5

KUALA LUMPUR: Keputusan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengadakan usul undi percaya terhadapnya pada sidang Dewan Rakyat minggu depan adalah hak prerogatifnya sebagai Ketua Majlis.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata ia kerana berdasarkan sistem Westminster, sesiapa sahaja boleh mengusulkan undi percaya pada bila-bila masa.

“Untuk seorang Perdana Menteri mengadakan usul terbabit biarpun beliau sudah mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong selain sokongan gabungan besar, kita perlu menghormati keputusannya.

“Bagi saya, Perdana Menteri adalah seorang yang berani kerana beliau mahu Ahli Parlimen menunjukkan sokongan mereka kepada dirinya,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan majlis penutup Forum Hari Hak Asasi Manusia 2022 bertemakan ‘Strengthening and Enhancing Human Rights Towards Leaving No One Behind’ di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung agenda usul undi percaya yang akan berlangsung di Parlimen minggu depan.

Mengulas lanjut, Azalina berkata, langkah mengadakan usul undi percaya dilihat sebagai usaha Perdana Menteri mengetengahkan Kerajaan Perpaduan yang mengutamakan ketelusan dan akauntabiliti.

“Bagi saya, Ahli Parlimen perlu menunjukkan sokongan mereka kerana ini adalah Kerajaan Perpaduan yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong. Jadi, kita tunggu dan lihat pada 19 dan 20 Disember ini,” katanya.

Anwar pada sidang pertamanya selepas mengangkat sumpah menegaskan akan membentangkan usul undi percaya bagi membuktikan keabsahannya sebagai Perdana Menteri ke-10.

Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, langkah itu penting bagi membuktikan keabsahan beliau dari segi persepsi politik, selain penafsiran dalam Perlembagaan Persekutuan.-BERITA HARIAN

Previous articlePelantikan Ahli Parlimen GPS kukuhkan sokongan terhadap Anwar Ibrahim
Next articleFIFA penuhi hajat Messi
Sarawak News merupakan sebuah platform berita yang memaparkan berita, informasi dan maklumat mutakhir yang berlaku di Sarawak Bumi Kenyalang. Semestinya ianya benar, betul dan sahih hanya untuk rakyat Sarawak

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here