Tempatan

Vendor anak tempatan digesa ambil bahagian dalam projek mega

KUCHING: Vendor anak tempatan digesa mengambil bahagian dalam projek mega Sarawak Energy Berhad (SEB) jika terus menunjukkan prestasi cemerlang dan memberi perkhidmatan berkualiti. 

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, ini termasuklah usaha sama dengan negara seperti Indonesia dengan syarat SEB dijadikan rakan kongsi ekuiti dalam projek di luar Sarawak. 

“SEB mempunyai data vendor dan jika mereka ini terus memberikan perkhidmatan terbaik berdasarkan pengalaman kerja, maka vendor ini boleh menjalinkan kerjasama dengan SEB di mana sahaja syarikat itu pergi. 

“Sebagai contoh syarikat minyak dan gas negara, Petronas yang berkembang dengan vendor mereka sendiri, justeru saya yakin SEB boleh melakukan perkara yang sama,”katanya.

Beliau berkata demikian pada  Majlis Penyampaian Anugerah Vendor Sarawak Energy (SEVA) 2021 di Kuching pada Rabu. 

“Perniagaan tempatan harus berusaha lebih gigih untuk melengkapkan diri dengan kemahiran abad ke-21 terutamanya berkaitan ekonomi digital dan kemampanan. 

“Kita mahu vendor tempatan sentiasa terdorong mencari peluang menyertai projek pembangunan di Sarawak,” ujarnya. 

Tambahnya, Kerajaan Sarawak akan terus menyediakan peluang dan tempat untuk membangunkan keupayaan usahawan tempatan dalam bidang utama bagi meningkatkan produktiviti dan daya saing, serta memenuhi piawaian antarabangsa untuk menembusi pasaran global. 

Sementara itu, Pengerusi SEB Datuk Amar Abdul Hamed Sepawi berkata, lebih 200 atau 40 peratus vendor Sarawak Energy Berhad (SEB) pada 2021 merupakan Bumiputera Sarawak.

Ujarnya lagi, ia merupakan daripada sejumlah 500 vendor tempatan dan luar negara yang bekerjasama dengan SEB merangkumi pelaksanaan kerja, perundingan barangan dan perkhidmatan. 

“Sementara dari tahun 2016, lebih RM2.8 bilion projek kerja dianugerahkan kepada vendor Bumiputera Sarawak. “Kebanyakan vendor ini menunjukkan prestasi kerja yang memberangsangkan mengatasi vendor bukan bumiputera,” katanya. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *