Sukan Vinicius Junior kecewakan Liverpool dengan gol tunggal perlawanan Liga Juara-Juara Eropah

Vinicius Junior kecewakan Liverpool dengan gol tunggal perlawanan Liga Juara-Juara Eropah

8

PARIS: Vinicius Junior meledak gol tunggal permainan ketika Real Madrid menewaskan Liverpool 1-0 pada final Liga Juara-Juara Eropah sekali gus melebarkan rekod kemenangan mereka kepada 14 kejuaraan.

Pemain sayap Brazil, Vinicius menyempurnakan hantaran Fede Valverde pada minit ke-59 untuk Madrid mendahului aksi di Stade de France yang bermula lewat lebih setengah jam akibat masalah di luar stadium.

Liverpool gagal mencari gol penyamaan dan anak buah Jurgen Klopp terpaksa akur tewas di tangan gergasi Sepanyol itu buat kali kedua dalam lima musim di pentas final Eropah itu.

Liverpool berpeluang mendahului permainan di babak pertama tetapi percubaan Sadio Mane diselamatkan penjaga gol Madrid Thibaut Courtois.

Pemenang Piala Liga dan Piala FA Inggeris itu dikecewakan oleh Manchester City dalam saingan Liga Perdana Inggeris dan Real Madrid di pentas Liga Juara-Juara Eropah.

Liverpool kini kekal dengan enam kejuaraan di pentas tertinggi Eropah itu manakala Real menjulang trofi Liga Juara-Juara kelima mereka dalam sembilan musim, dengan Carlo Ancelotti muncul pengendali pertama memenangi trofi itu sebanyak empat kali.

Ancelotti turut membimbing Real ketika mereka memenangi edisi 2014 dan pernah membawa AC Milan menjuarainya pada tahun 2003 dan 2007.

Aksi final berkenaan tertangguh 35 minit akibat kekecohan yang berlaku di pintu masuk stadium. Difahamkan ia berpunca daripada ribuan penyokong yang cuba masuk menggunakan tiket palsu. – AFP

Previous articleSepatutnya prestasi Harimau Malaya lebih baik menentang Brunei
Next articlePenubuhan Lembaga Pembangunan Sago dan Nipah Suatu Keputusan Tepat & Betul
Sarawak News merupakan sebuah platform berita yang memaparkan berita, informasi dan maklumat mutakhir yang berlaku di Sarawak Bumi Kenyalang. Semestinya ianya benar, betul dan sahih hanya untuk rakyat Sarawak

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here