Nasional

Visa furada hak kerajaan Arab Saudi

KOTA BHARU: Kerajaan tidak mempunyai kuasa untuk menghapuskan visa furada yang hampir setiap tahun menimbulkan isu individu terkandas untuk ke Tanah Suci dan kerugian wang.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary, berkata visa furada budi bicara kerajaan Arab Saudi kepada pihak tertentu melalui kedutaannya di negara ini.

“Itu adalah hadiah khas daripada Raja Saudi kepada individu tertentu yang ada hubungan baik dengan beliau. Cumanya, proses berkenaan melalui kedutaan Arab Saudi yang akan kenal pasti siapa yang akan dihadiahkan visa itu.

“Visa itu bukan hak kita. Kerajaan Malaysia tidak boleh dan tidak ada kuasa untuk membatalkan, mahupun menyekat visa furada,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Qurban Perdana Parlimen Pengkalan Chepa di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, kira-kira 380 bakal jemaah haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Bakal jemaah itu dipercayai menggunakan visa furada untuk menunaikan haji dan tidak melalui Tabung Haji (TH).

Mengulas mengenai cadangan Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH) mengesyorkan supaya setiap agensi pelancongan yang diberi kelulusan sebagai perkhidmatan Pengelola Jemaah Haji diulang ganti setiap dua tahun sekali, Ahmad Marzuk berkata, pihaknya akan mempertimbang perkara itu.

“Sehingga kini terdapat 22 agensi pelancongan yang berdaftar dengan TH di bawah Pengelola Jemaah Haji dan mereka ada kelayakan tertentu,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *