SIBU: 4 wakil rakyat dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka Dr Annuar Rapaee, ADUN Pelawan Michael Tiang Ming Tee, ADUN Bukit Assek Chieng Jin Ek dan ADUN Dudong Datuk Seri Tiong King Sing bersetuju salurkan peruntukan RM200,000 kepada Hospital Sibu setiap tahun daripada Tabung Bantuan Khas mereka.
Perkara ini didedahkan Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Dr Annuar semasa menghadiri Taklimat Perkhidmatan Hospital Sibu pada Jumaat.
Taklimat tersebut telah dikendalikan Pengarah Hospital Sibu Dr Nanthakumar Thirunavukkarasu.
Jelasnya, Jawatankuasa Bertindak Hospital Sibu yang telah ditubuhkan pada tahun lepas bersetuju membawa kemudahan dan
keperluan tenaga kerja Hospital Sibu kepada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan lanjut.
Ini susulan selepas Hospital Sibu mengalami kekurangan fasiliti dan kakitangan ketika wabak COVID-19 sedang menular.
Beliau yang mengetuai jawatankuasa tersebut juga berkata, adalah penting untuk mengukuhkan kemudahan dan keperluan tenaga kerja Hospital Sibu kerana ia juga memenuhi keperluan perubatan di wilayah tengah Sarawak.
“Keputusan kolektif itu dicapai semasa mesyuarat di hospital Sibu pada Jumaat dengan kesemua wakil rakyat GPS.
“Kami telah diberi taklimat oleh semua ketua jabatan Hospital Sibu mengenai kedudukan perkhidmatan di Hospital Sibu.
“Jawatankuasa telah bersetuju untuk menyatukan data berkaitan kemudahan dan keperluan tenaga kerja Hospital Sibu,” ujarnya.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua wakil rakyat GPS yang bersetuju untuk menyalurkan dana kepada hospital Sibu.
“Saya amat berterima kasih kepada mereka atas keprihatinan tersebut dan usaha ini adalah satu daripada enam fokus Pasukan Baharu Untuk Sibu Baharu,” jelasnya.
Turut hadir ialah Ahli Dewan Negara Senator Robert Lau Hui Yew.