Tempatan

Warden Trafik MBM bantu kawal lalu lintas di bandar raya Miri 

MIRI: Majlis Bandaraya Miri (MBM) telah memperkenalkan tujuh anggota penguat kuasa yang akan bertindak sebagai Warden Trafik di bandar Miri. 

Majlis pengenalan Warden Trafik MBM ini telah disempurnakan Datuk Bandar Adam Yii di Dewan Bandaraya Miri pada Isnin. 

Mereka ini telah menjalani latihan di Polis Di Raja Malaysia (PDRM) pada Mac 2022, latihan perkhidmatan di Kuching bersama Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) pada Januari lalu serta latihan bersama anggota polis trafik pada Februari lepas. 

Menurut Yii, pasukan ini dilantik sebagai Warden Trafik di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Kesesakan lalu lintas adalah disebabkan faktor manusia sehingga ada pemandu  yang tidak bertimbang rasa meletak kenderaan sembarangan atau meletak kenderaan di kawasan larangan.

“Oleh itu, dengan penubuhan pasukan ini kita berharap dapat menambah baik keadaan.

“Kita juga boleh bergantung kepada pasukan ini dalam hal-hal lalu lintas yang lain,” katanya. 

Ujar beliau lagi, berbekal pengalaman latihan yang diikuti sebelum ini, Yii yakin pasukan akan menjalankan tugas dengan baik dan bersungguh-sungguh.

Terdahulu Setiausaha MBM Abdul Rahman Taupek berkata, menerusi kerjasama dengan polis, pasukan tersebut akan membantu mengawal lalu lintas di kawasan di bawah bidang kuasa MBM.

Sekiranya diperlukan pasukan tersebut akan ditempatkan di simpang jalan lampu isyarat pada waktu puncak dan bertugas sebagai penguat kuasa dalam urusan lalu lintas.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *