Rencana

Ada PhD, tapi tiada kerja

Bilangan graduan doktor falsafah (PhD) saban tahun meningkat, namun statistik menunjukkan mereka tidak terkecuali daripada isu pengangguran.

Berdasarkan Sistem Kajian Pengesanan Graduan 2021, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) merekodkan daripada 2,501 pemegang PhD, 63 orang atau 2.5 peratus sedang menunggu penempatan pekerjaan dan 220 orang atau 8.8 peratus masih menganggur.

Ketiadaan peluang pekerjaan bagi graduan PhD menyumbangkan kepakaran dalam bidang khusus menyebabkan ada yang terpaksa memilih kerjaya yang tiada kaitan dengan bidang pengajian.

Bagi Dr Norashikin Mohd Shaharuddin, 38, beliau menamatkan PhD pada 2019 dalam bidang kajian parasit (parasitologi) di Fakulti Perubatan, Universiti Malaya dan kini bekerja sebagai perancang hayat di sebuah agensi insuran.

Beliau sebelum ini bertugas sebagai pensyarah perubatan di sebuah universiti swasta dengan kelulusan sarjana selama hampir tiga tahun sebelum menyambung pengajian di peringkat PhD.

“Saya sangat minat dengan bidang parasitologi dan pengalaman sebagai pensyarah membuatkan saya lebih bersemangat untuk menyambung belajar ke peringkat PhD,” katanya.

Berkongsi kisah perjalanannya mencari pekerjaan, Norashikin berkata beliau menghantar permohonan ke semua fakulti perubatan universiti awam dan swasta di Semenanjung Malaysia bagi memohon jawatan pensyarah.

Selain itu, beliau turut menghantar permohonan ke syarikat swasta yang menjalankan penyelidikan berkaitan haiwan menerusi iklan di laman berkaitan selain portal carian kerja yang lain.

Setiap sesi temu duga dihadirinya selama tempoh tiga tahun sejak menamatkan PhD, namun tiada pihak yang menawarkan pekerjaan kepadanya.

“Saya mula mencari kerja sejak Oktober 2019 dan dipanggil oleh sebuah universiti awam di Kuala Lumpur untuk sesi duga pada Disember 2019.

“Sewaktu itu, saya berasa cukup yakin akan dapat jawatan itu memandangkan saya mempunyai pengalaman mengajar.

“Tapi, mungkin atas sebab pandemik COVID-19 dan perubahan corak pengajaran dalam talian sejak Mac 2020, tiada keperluan bagi mereka mencari pensyarah baharu,” katanya.

Norashikin berkata, beliau kekal berfikiran positif sepanjang tempoh permohonan kerja dan mengambil seberapa banyak peluang yang ada.

“Sepanjang 2020 dan 2021 itu saya masih positif walau permohonan saya ditolak. Saya juga hadiri persidangan antarabangsa secara dalam talian dan terbitkan beberapa kertas kajian, jadi tempoh mencari kerja itu tidak berlalu dengan sia-sia.

“Pada awal 2022, jelas penyelia saya sewaktu PhD di UM menawarkan kerja berdasarkan geran penyelidikan ketika itu. Jadi saya kerja di situ sehingga geran berkenaan habis pada Ogos 2022.

“Dalam tempoh itu juga saya masih cuba memohon jawatan tetap di universiti dan syarikat penyelidikan serta hadiri temu duga, namun masih gagal,” katanya.

Menurutnya, terdapat segelintir pihak majikan yang menolak permintaan gaji sewaktu temu duga walaupun jumlah itu difikirkan setimpal dengan pengalaman dan kelulusan beliau.

“Pihak universiti swasta itu meminta saya membuat ‘cross-teaching’ maknanya saya perlu mengajar di beberapa fakulti, namun gaji yang ditawarkan rendah.

“Pada ketika itu saya rasa diremehkan kerana berdasarkan pengalaman bekerja sebagai pensyarah di universiti swasta, saya tahu mereka sebenarnya mampu dari segi kewangan tetapi memilih tidak menghargai kakitangan,” katanya.

Norashikin berkata, saat itu adalah titik perubahan dalam hidupnya. Beliau merasakan tidak boleh menunggu dan berharap lagi kepada tawaran kerja di bidang pendidikan atau penyelidikan setelah tiga tahun memohon pekerjaan.

Tambahan pula dengan usia menghampiri 40 tahun, Norashikin nekad memohon pekerjaan di luar bidang pengajiannya pada Oktober 2022. Walaupun begitu, Norashikin menegaskan bahawa beliau tidak pernah berasa rugi melanjutkan pelajaran ke peringkat PhD.

Jelasnya, beliau percaya ilmu itu luas dan setiap pengalaman yang diperoleh dalam proses pengajian PhD itu cukup berharga untuk dipraktikkan dalam dunia sebenar.

“Mungkin ada orang akan mengata, belajar tinggi tapi jual insuran sahaja. Saya mahu katakan bahawa saya tidak pernah rugi belajar sehingga PhD.

“Ada juga pihak universiti swasta yang memanggil untuk temu duga sewaktu saya sudah pun bekerja di agensi insuran membuatkan saya berfikir panjang semula.

“Namun setelah difikirkan masak-masak, saya tetapkan pendirian untuk teruskan dengan kerjaya ketika ini di agensi insuran,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman, berkata faktor utama isu pengangguran dalam kalangan graduan lepasan pascasiswazah ialah negara kita ketika ini masih belum menjadi negara berasaskan penyelidikan.

“Meskipun peluang pekerjaan yang terhad di Malaysia ketika ini, kita tidak boleh dengan mudah meminta graduan PhD meneroka atau berpindah ke luar negara terutamanya negara maju untuk menawarkan kepakaran mereka.

“Saya fikir usaha yang boleh dilaksanakan kerajaan adalah membangunkan lebih banyak pusat penyelidikan sama ada secara bersendirian atau bekerjasama dengan pihak antarabangsa.

“Sekiranya Malaysia boleh memperbanyakkan aktiviti penyelidikan, ia boleh mencipta lebih banyak peluang pekerjaan untuk pemegang PhD,” katanya.

Tegas Syed Hussain, graduan PhD dalam bidang Sains Semula Jadi (berkaitan kosmologi dan biologi alam semesta), Matematik dan Statistik mencatatkan kadar guna tenaga terendah pada 2022 iaitu 19.6 peratus.

Susulan itu beliau menyarankan sukatan pengajian PhD wajar disemak semula supaya graduan yang dilahirkan menepati keperluan industri di sektor swasta.

Pengajian PhD di Malaysia katanya sangat berasaskan penyelidikan dan tertumpu kepada analisis dapatan data. Hal ini menyebabkan graduan biasanya mensasarkan untuk bekerja di institusi akademik sebagai pensyarah dan penyelidik.

Bagaimanapun, Syed Hussain mengakui bahawa pengalaman pekerjaan kebiasaannya dilihat sebagai faktor penting yang diberi keutamaan oleh majikan di dalam pengambilan pekerja baharu.

Katanya, selain pengalaman kerja, majikan turut memberi tumpuan kepada kebolehan graduan melakukan kerja dalam pasukan serta mampu berkomunikasi secara lisan dan bertulis dengan baik, terutamanya dalam bahasa Inggeris.

“Kemahiran asas yang lain seperti pengurusan penampilan diri yang juga sebahagian faktor intrapersonal akan memberikan graduan PhD peluang yang lebih tinggi untuk mendapat pekerjaan,” katanya.

Selain itu katanya, pasaran kerja di negara luar juga perlu ditinjau oleh graduan PhD. Malaysia katanya mungkin terlalu kecil untuk menyediakan peluang pekerjaan untuk graduan PhD.

Bagaimana pun katanya, sangat rugi jika kepakaran tempatan mekar di negara luar. Justeru langkah terbaik adalah KPT perlu meningkatkan usaha untuk membantu graduan PhD mendapatkan pekerjaan yang sesuai misalnya dalam bidang Sains Semula Jadi, Matematik dan Statistik.-BERITA HARIAN

Dapatkan berita lebih lanjut dan pantas dengan melayari media sosial Sarawak News

Telegram: https://t.me/sarawaknews2022 

Facebook Page: https://www.facebook.com/sarawaknewsofficial/ 

Instagram: https://www.instagram.com/sarawak_news/ 

Twitter: https://twitter.com/sarawak_news 

Youtube: https://www.youtube.com/@sarawaknews2022/ 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *