Politik

Ahmad Nazib masih berminat jawatan Pengarah J-KOM Sarawak?

KUCHING: Sehingga kini, masih belum ada pengumuman rasmi mengenai jawatan Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) Sarawak. 

Isu ini pernah dibangkitkan pada bulan lepas sebaik sahaja satu infografik ucapan tahniah kepada Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Santubong Ahmad Nazib atas pelantikan itu telah viral dalam media sosial.

Bagaimanapun, ‘pelantikan’ itu disifatkan sebagai tidak benar selepas beberapa pemimpin tertinggi PKR Pusat menafikannya termasuk Ketua Pengarah J-KOM sendiri. 

Malah, perkara itu juga telah menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan pemimpin kerajaan Sarawak. 

Jawatan Pengarah J-KOM Sarawak biarpun tidak perlu dirujuk kepada kerajaan Sarawak kerana ia merupakan jawatan Persekutuan, tetapi ia merupakan isu sensitif yang perlu dimaklumkan kepada kerajaan Sarawak sebagai persetujuan bersama seperti yang terkandung dalam Kerajaan Perpaduan. 

Seperti yang dijelaskan Menteri Pelancongan, Industri Krearif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, walaupun kuasa melantik itu di bawah kerajaan pusat, namun kerajaan pusat perlu lebih sensitif terhadap keputusan berkenaan.

Kini, Ahmad Nazib telah mempersoalkan campur tangan pemimpin kerajaan Sarawak terhadap pelantikannya selepas sekian lama berdiam diri dalam menjawab pelantikan Pengarah J-KOM Sarawak yang tular pada bulan Ramadan lepas. 

Memetik Utusan Borneo, Ahmad Nazib Johari berkata, kerajaan negeri di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah membantah pencalonannya sebagai pengarah J-KOM Sarawak, sekali gus menghantar pencalonan mereka kepada PMO.

Menurutnya, pelantikan bagi jawatan itu adalah di bawah bidang kuasa PMO dan pada peringkat awal namanya dicadangkan kepada PMO, dihantar kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA) dan ia telah diterima di peringkat SPA, yang sudah mendapat restu daripada Perdana Menteri (PM).

“Nama saya sudah dicadangkan untuk jawatan itu, ia sudah pun diluluskan oleh PMO pada mulanya. Cuma di peringkat negeri tidak bersetuju dengan pelantikan dan mereka mencalonkan nama wakil rakyat mereka, perkara itu akan diputuskan di peringkat ketua pengarah J-KOM nanti.

“Buat masa ini, belum ada keputusan dibuat oleh PMO mengenai calon pengarah J-KOM Sarawak,” katanya  ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya anjuran PKR cawangan Bandar Kuching, Santubong dan Stampin di sebuah kafe di sini pada Khamis. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *