Nasional

Aplikasi e-TAIB jawab kemusykilan berkaitan ibadah haji, beroperasi 24 jam 

MADINAH: Jemaah haji Malaysia yang mempunyai kemusykilan dalam perkara berkaitan pelaksanaan ibadah mereka di Tanah Suci, boleh mengemukakan persoalan berkenaan melalui aplikasi e-TAIB pada bila-bila masa.

Pengurus Ibadat dan Ziarah Di Sektor Madinah, Muhammad Fakhrur Ridzwan Othman, berkata soalan yang dikemukakan menerusi ‘talian ibadah’ itu yang dilancarkan tahun lalu akan dijawab dalam tempoh 24 jam.

Empat Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci (PIHTAS) akan berperanan mengendalikan e-TAIB yang beroperasi 24 jam, secara bergilir-gilir.

Inisiatif e-TAIB adalah satu medium untuk jemaah haji mengajukan persoalan, dengan membabitkan interaksi antara jemaah haji dengan PIHTAS secara dalam talian. Ini kerana mungkin ada jemaah haji yang mempunyai persoalan tetapi tidak sempat bertemu PIHTAS secara fizikal.

“Persoalan dikemukakan jemaah haji melalui e-TAIB, akan dijawab terus oleh PIHTAS yang bertugas. Namun, sekiranya ada kemusykilan yang tidak dapat dijawab terus, kita mempunyai suatu tempoh untuk berbuat sedemikian.

“Lazimnya insya-Allah, kita akan berusaha menjawab persoalan itu dalam tempoh 24 jam supaya ia tidak mendatangkan keraguan besar atau masalah lain kepada jemaah haji,” katanya kepada pemberita, di sini.

Muhammad Fakhrur Ridzwan bagaimanapun menjelaskan, Lembaga Tabung Haji (TH) mempunyai bank soalan untuk persoalan yang sering ditanya jemaah haji, termasuk berhubung dam atas keguguran rambut ketika dalam ihram.

“Justeru bagi soalan sebegitu, PIHTAS boleh menjawab terus. Lazimnya, persoalan dibangkitkan ialah berhubung fiqh wanita. Perkara itu selalu menjadi persoalan dalam kalangan jemaah wanita, dan ia diambil serius oleh PIHTAS bagi membantu mereka memahami persoalan hukum dan bagaimana hendak melaksanakan ibadah dalam tempoh itu,” katanya.

Selain e-TAIB, Muhammad Fakhrur Ridzwan berkata, jemaah haji juga boleh merujuk kemusykilan mereka itu dengan guru agama yang telah disediakan oleh TH di zon penginapan.

Jemaah haji akan dibantu untuk mendaftar masuk portal e-Bimbingan Haji yang boleh membantu mereka memahami persoalan hukum berkaitan haji dan umrah, melalui pembelajaran dalam talian.

Sementara itu, katanya, Unit Ibadat dan Ziarah Di Sektor Madinah mempunyai lapan PIHTAS membabitkan empat pembimbing bagi Zon Satu serta Zon Dua dan empat lagi akan bertugas menyantuni jemaah haji bagi urusan ziarah.

Beliau berkata, pihaknya sudah membuat persediaan, termasuk menyusun jadual bagi urusan ziarah.

Ia meliputi ziarah dalam membabitkan kawasan Masjid Nabawi iaitu ziarah makam Rasulullah SAW, dan perkuburan al-Baqi’, serta ziarah luar membabitkan tempat bersejarah di sekitar Madinah.

“Selain itu, kita akan mengaturkan ziarah Raudhah berdasarkan kebenaran yang akan diberikan oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.

“Insya-Allah, ziarah luar akan bermula 23 Mei (esok) membabitkan jemaah haji daripada kumpulan penerbangan (KT) awal.

“Fokus di Madinah bagi Fasa Satu adalah lebih kepada urusan ziarah dan persediaan menunaikan umrah serta haji di Makkah nanti.

“Bagi Fasa Dua pula, selain urusan ziarah, kita menekankan aspek bagaimana untuk mengekalkan kemabruran haji, dan bagaimana hendak menjadikan seseorang yang sudah selesai melaksanakan ibadah haji itu berazam menjadi seorang yang soleh serta musleh,” katanya.

Ditanya berhubung aktiviti ziarah luar ketika Arab Saudi kini mengalami cuaca panas terik pula, beliau menjelaskan, pihaknya sudah menyusun untuk semua ziarah luar dijalankan pada waktu pagi.

“Kita akan cuba memastikan jemaah tidak terdedah lama kepada suhu begitu panas di luar. Kita akan cuba mempercepat perjalanan itu, bergantung pada situasi trafik dan hal semasa,” katanya.-BERITA HARIAN

Dapatkan berita lebih lanjut dan pantas dengan melayari media sosial Sarawak News

Telegram: https://t.me/sarawaknews2022 

Facebook Page: https://www.facebook.com/sarawaknewsofficial/ 

Instagram: https://www.instagram.com/sarawak_news/ 

Twitter: https://twitter.com/sarawak_news 

Youtube: https://www.youtube.com/@sarawaknews2022/ 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *