Dunia

AS beri amaran kemungkinan berlaku serangan di Turkiye

ISTANBUL: Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Turkiye hari ini memberi amaran kepada rakyatnya di negara berkenaan berkemungkinan berlakunya serangan di beberapa rumah ibadat termasuk gereja berikutan insiden pembakaran al-Quran di Eropah, baru-baru ini.

Itu adalah amaran kedua yang dikeluarkan selepas empat hari insiden berkenaan berlaku.

Dalam amaran keselamatan itu, kedutaan AS berkata, berkemungkinan serangan balas oleh akan berlaku di kawasan yang selalu dikunjungi oleh orang Barat, terutamanya di kawasan Beyoglu, Galata, Taksim dan Istiklal.

Tambahnya, pihak berkuasa Turkiye sedang menyiasat mengenai perkara itu.

Jumaat lalu, beberapa kedutaan di Ankara termasuk AS, Jerman, Perancis dan Itali mengeluarkan amaran keselamatan berhubung kemungkinan serangan balas di rumah ibadat disebabkan oleh insiden yang berlaku secara berasingan di Sweden, Belanda dan Denmark yang membabitkan kitab suci umat Islam.

Sabtu lalu, Turkiye turut memberi amaran kepada rakyatnya yang berada di AS dan Eropah mengenai kemungkinan serangan Islamofobia, xenofobia dan perkauman akan berlaku di negara terbabit. – REUTERS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *