Tempatan

Bekalan telur mencukupi, tetapi jika sukar didapati hubungi KPDN

MIRI: Pengusaha kuih yang sukar mendapatkan bekalan telur di pasaran perlu segera menghubungi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Malaysia (KPDN) bagi mendapatkan nasihat.

Gesaan ini dibuat Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah.

Menurutnya, dengan mendapatkan nasihat daripada KPDN membolehkan mereka mendapatkan bekalan telur terus daripada pembekal. 

“Jadi, pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberitahu sekiranya bekalan telur tidak mencukupi, beritahu mereka dengan segera kerana setakat ini bekalan telur mencukupi.

“Saya juga ada bertanya bagaimana hendak meringankan tanggungan yang membuat kek, biskut dan sebagainya. Pihak KPDN memberitahu bahawa mereka yang bakerinya berdaftar boleh memberitahu kepada KPDN dan pihak mereka akan memberitahu pembekal untuk membenarkan membeli terus dari pembekal tetapi dengan syarat bakeri itu mesti berdaftar,” katanya semasa Majlis Sejambak Kasih Miri di Hotel Dynasty di sini, pada Selasa. 

Pada majlis itu, menyaksikan seramai 100 orang menerima wang tunai bernilai RM100 di samping saguhati bernilai RM80 daripada Jabatan Kebajikan Malaysia Sarawak (JKMS) bahagian Miri dan RM150 daripada pihak Hotel Dynasty.

Ujarnya lagi, bagi kaum wanita yang menjual biskut dan kek tetapi tidak berdaftar, mereka perlu memanjangkan perkara itu dengan menulis surat kepada KPDNHEP agar dapat berunding dengan pembekal jika didapati bekalan telur masih tidak mencukupi.

“Pihak KPDNHEP memberitahu bahawa mereka yang tidak memiliki bakeri berdaftar boleh menulis surat kepada KPDNHEP dan mereka akan melihat setiap kes tersebut.”

“Jadi, ini perkara yang kita hadapi sekarang dalam keadaan kos barang yang tinggi. Kadang-kadang dari segi bekalannya terhad. Kalau kementerian sudah memberitahu bekalan cukup, jadi maknanya kita perlu membuat laporan kalau tidak mencukupi. Kelak mereka akan berunding dengan pembekal barang kawalan ini,” ujarnya lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *