ALOR SETAR: Kementerian berkaitan didakwa sengaja memberi fakta yang salah kepada Timbalan Perdana Menteri (TPM), Datuk Seri Fadillah Yusof, kononnya Kedah adalah negeri yang mempunyai lokasi perlombongan haram terbanyak di negara ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, mendakwa kementerian terbabit hanya mempergunakan Fadillah untuk membuat kenyataan itu bagi membina persepsi buruk terhadap kerajaan negeri di bawah kepimpinan PAS.
“Ini disengajakan oleh kementerian, cuma digunakan TPM. Saya tahu TPM baik. Dalam mesyuarat itu saya bangkitkan mengenai 60 tapak lombong haram bagi memberi gambaran di seluruh negara dan bukan di Kedah saja kerana di negeri ini, cuma ada satu tapak lombong haram, itu pun sudah ditutup.
“Menteri Sumber Asli ada dalam mesyuarat…lepas itu dia pun bangkit daripada kerusi dengan timbalan menteri dengan pegawai bincang di hujung sana, saya perhatikan apa yang berlaku dalam mesyuarat.
“Di hujung sidang media, TPM sebut lombong haram banyak di Kedah, aik…lepas itu sandar kat saya, kata saya mengaku, saya pun hairan juga kenapa ‘spin’ begitu,” katanya ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman, di sini, hari ini.
Dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Mineral Negara (MMN) kelmarin, TPM mendakwa terdapat 60 tapak perlombongan haram di negara ini dengan kebanyakannya berada di Kedah.
Fadillah mendakwa, Muhammad Sanusi sendiri mengakui perkara itu dalam mesyuarat berkenaan namun Menteri Besar memuat naik status di laman Facebooknya tidak lama selepas itu dengan menafikan dakwaan berkenaan.
Muhammad Sanusi berkata, sebagai seorang menteri, politik perlu diketepikan seketika apabila melakukan tugas, apa tah lagi menggunakan jawatan untuk memburukkan pemimpin negeri.
“Nak jadi menteri (atau) pemimpin, politik kena tinggal sat (sekejap)…(kalau) bawa politik parti nak tibai orang masuk dalam kerajaan, tak boleh! hang kena bersih daripada pemikiran nak bedai orang kerana faktor politik sebab hang sedang melaksanakan tanggungjawab seorang menteri.
“Jangan sampai ada peluang sikit ‘bedai’..sudah lah bedai, bedai pulak tak kena orang, bidas balik cek oii…Bila bidas balik orang akan kata orang hat bidas tu jahat… Hangpa buat tak betul, saya kena perbetul sebab yang (fakta) ini hangpa salah,” katanya.
Ditanya, sama ada mereka yang terbabit dalam membuat dakwaan tersebut perlu membuat permohonan maaf, Muhammad Sanusi berkata, perkara itu terpulang pada mereka.
“Sama ada mereka nak minta maaf atau tidak, terpulanglah. Tetapi ‘depa’ ni tahukah nak minta maaf?
“Saya rasa mereka tak reti (minta maaf) tapi buatlah kerja bagi betul. Jangan ‘tibai’ orang dengan buat kerja tak ketahuan hala,” katanya.
Dalam pada itu Muhammad Sanusi turut mempersoalkan tindakan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) menghantar surat kepada pejabatnya untuk meminta menyenaraikan lombong haram di Kedah.
“Saya kata 60 tapak perlombongan haram itu di seluruh negara dan bukan di Kedah saja. Di Kedah cuma ada satu saja iaitu di Bukit Enggang, Sik dan tapak perlombongan itu sudah ditutup manakala pelakunya ditahan serta diambil tindakan.
“Untuk tapak lain di seluruh negara, tugas kementerian untuk cari di mana lokasinya. Bukankah banyak agensi di bawah kementerian itu, kenapa nak suruh saya cari pula?” katanya.
Dapatkan berita lebih lanjut dan pantas dengan melayari media sosial Sarawak News
Telegram: https://t.me/sarawaknews2022
Facebook Page: https://www.facebook.com/sarawaknewsofficial/
Instagram: https://www.instagram.com/sarawak_news/
Twitter: https://twitter.com/sarawak_news