Tempatan

Gawai Dayak: Identiti, titik penyatuan kaum Dayak

KUCHING: Perayaan Gawai Dayak merupakan identiti kaum Dayak di Sarawak yang seharusnya menjadi satu titik penyatuan kaum Dayak, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.

Justeru, beliau mengajak kaum Dayak untuk bersatu dalam usaha mengejar pembangunan dalam pelbagai bidang seiring dengan kaum lain di negeri ini.

“Dengan ikhlas saya menyatakan bahawa sebagai pemimpin yang bertanggung jawab, saya tidak ingin melihat mana-mana kaum di negeri ini ketinggalan dari segi mengejar pembangunan.

“Saya yakin dengan usaha gigih dan sikap yang betul, kaum Dayak juga boleh maju seperti mereka yang sudah maju.

“Oleh itu, saya amat berharap musim perayaan ini, suasana yang riang ria boleh menjadi wadah untuk bertukar-tukar fikiran dan pendapat dalam usaha memperkukuhkan perpaduan dan iltizam kaum Dayak ke arah penglibatan yang lebih aktif dalam proses pembangunan negeri ini,” katanya dalam perutusan sempena perayaan Gawai Dayak pada Rabu.

Abang Zohari juga mengingatkan rakyat untuk terus memperkukuhkan perpaduan, berusaha dalam pembangunan, dan memanfaatkan potensi yang dimiliki oleh kaum Dayak untuk mencapai masa depan yang lebih baik bagi Sarawak.

Beliau juga berharap seluruh rakyat Sarawak dapat berkongsi kegembiraan menyambut Gawai bersama rakan-rakan yang berketurunan Dayak dengan saling berkunjung dalam meraikan perayaan ini.

“Inilah masanya kita sebagai anak Sarawak untuk terus saling kunjung-mengunjung untuk mengucapkan selamat Gawai kepada rakan-rakan kita yang meraikannya,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Premier Sarawak turut mengingatkan rakyat untuk berbelanja dengan berhemah sempena musim perayaan ini dengan memberi barangan keperluan sahaja dan meningatkan untuk menyimpan untuk masa hadapan terutama pendidikan anak-anak.-SN

 

Dapatkan berita lebih lanjut dan pantas dengan melayari media sosial Sarawak News

 

Telegram: https://t.me/sarawaknews2022

Facebook Page: https://www.facebook.com/sarawaknewsofficial/

Instagram: https://www.instagram.com/sarawak_news/

Twitter: https://twitter.com/sarawak_news

Youtube: https://www.youtube.com/@sarawaknews2022/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *