Tempatan

IEW 2023 bakal himpunkan pakar industri terkemuka, pegawai kerajaan dan sektor korporat

KUCHING: Minggu Tenaga Antarabangsa (IEW) 2023 bakal menghimpunkan pakar industri terkemuka, pegawai kerajaan dan sektor korporat di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) bermula 13 hingga 15 Jun depan.

Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Dr Hazland Abang Hipni berkata, ia merupakan peluang besar untuk Sarawak berada di barisan hadapan dalam perbincangan mengenai Kelestarian Alam Sekitar dan Peralihan Tenaga.

Katanya, IEW 2023 menjadi platform penting untuk berkongsi pengalaman serta meneroka peluang perniagaan dan pelaburan di Borneo khususnya dengan pembangunan Ibu Kota Nusantara baharu di Kalimantan.

“IEW akan mengadakan Sidang Kemuncak dan Ekspo.

“Ekspo dan sidang kemuncak itu akan memudahkan dan membantu menghubungkan kumpulan orang yang berbeza dari sfera tenaga, iaitu kerajaan, pemain besar, Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), perunding dan ahli akademik untuk meneroka idea dan peluang dalam peralihan tenaga.

“Sidang kemuncak itu akan membincangkan dan mengkaji peluang dalam memanfaatkan sumber tenaga mampan yang besar di Sarawak yang akan memacu pertumbuhan ke arah masa depan rendah karbon di rantau ini,” katanya dalam satu sidang media di sini pada Selasa.

Menurut Dr Hazland lagi, pada tahun ini terdapat ucapan khas oleh pemimpin antarabangsa terkemuka yang berkongsi mengenai pembangunan mampan, meja bulat kepimpinan yang membincangkan cabaran dan peluang, sesi mengenai peluang pelaburan dalam Ekonomi Hijau serta perkembangan menarik di Kalimantan, terutamanya dengan penubuhan Ibu negara Indonesia di Nusantara.

Beliau menambah, lebih daripada 200 peserta pameran di ekspo daripada syarikat tenaga, pengeluar peralatan dan perunding tenaga yang akan mempamerkan teknologi dan penyelesaian mereka.

Ujarnya lagi, ia adalah peluang besar untuk kerjasama, perbincangan dan penjanaan idea mengenai bagaimana semua boleh mengambil bahagian dan menyumbang kepada sifar bersih pelepasan karbon.-SN

Dapatkan berita lebih lanjut dan pantas dengan melayari media sosial Sarawak News

Telegram: https://t.me/sarawaknews2022

Facebook Page: https://www.facebook.com/sarawaknewsofficial/

Instagram: https://www.instagram.com/sarawak_news/

Twitter: https://twitter.com/sarawak_news

Youtube: https://www.youtube.com/@sarawaknews2022/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *