Tempatan

Kapal karam, seorang terselamat dan dua lagi masih hilang 

TANJUNG MANIS: Sebuah kapal yang membawa muatan jentera berat karam di Sungai Batang Serdeng dalam kejadian pada jam 12:00 tengah malam Khamis. 

Kejadian itu menyebabkan seorang terselamat dan dua lagi masih lagi hilang. 

Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Manis, Awang Busrah Awang Mostapha berkata, mangsa yang terselamat dikenal pasti sebagai Mohamad Abdullah, 66 tahun yang merupakan juragan kapal berkenaan manakala identiti dua lagi mangsa belum diperolehi.

”Juragan kapal itu diselamatkan oleh seorang penduduk yang kebetulan melalui kawasan kejadian dengan perahu.

“Nelayan itu telah menghampiri mangsa selepas melihatnya melambai-lambai meminta pertolongan,” katanya pada Khamis. 

Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Sarikei untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, sepasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Manis telah melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) melibatkan kawasan radius pencarian sejauh 5 kilometer (km).

Sehingga kini, pasukan penyelamat masih belum menemui sebarang petunjuk berkaitan mangsa yang hilang itu. -SN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *