Nasional

Malaysia di landasan terbaik pemulihan

KUALA LUMPUR: Indikator semasa jelas menunjukkan Malaysia kini berada di landasan terbaik untuk pulih daripada krisis kesihatan dan ekonomi yang melanda negara sejak dua tahun lalu, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata, antara indikator utama adalah prestasi eksport Malaysia yang berdaya tahan dengan nilai eksport melebihi RM100 bilion pada Disember 2021, yang mana pencapaian itu mencatat rekod baharu mencecah RM123.8 bilion dan berkembang 29.2 peratus, tahun ke tahun.

“Dewan Perniagaan Amerika Malaysia (AMCHAM) mengesahkan firma Amerika Syarikat melabur RM165.73 bilion dengan lebih 130,000 peluang pekerjaan diwujudkan yang mana 90 peratus daripadanya diisi rakyat tempatan.

“Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) juga meluluskan RM109.1 bilion dalam tempoh 100 hari pentadbiran saya bagi meningkatkan pelaburan asing dalam sektor pembuatan dengan unjuran 25,000 peluang pekerjaan,” katanya di laman Facebook beliau, hari ini.

Ismail Sabri menegaskan, kerajaan akan terus meningkatkan taraf hidup Keluarga Malaysia melalui pelbagai inisiatif dan program membabitkan pelaburan tempatan dan luar negara.

Katanya, semua inisiatif yang sedang dilaksanakan membolehkan kadar pengangguran pada Disember 2021 turun kepada 4.2 peratus berbanding 4.3 peratus pada November 2021 berikutan pembukaan lebih banyak sektor ekonomi dan sosial.

“Projek terbaharu yang dilaksana oleh Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), iaitu Kedah Rubber City (KRC) bakal menarik pelaburan kira-kira RM10 bilion dan mencecah RM4,000 bilion setakat ini.

“KRC mewujudkan 7,000 peluang pekerjaan baharu kepada Keluarga Malaysia,” katanya.

Perdana Menteri menambah menerusi inisiatif JaminKerja Keluarga Malaysia (JaminKerja), kerajaan akan menyediakan kira-kira 600,000 peluang pekerjaan dengan peruntukan berjumlah RM4.8 bilion. –BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *