PUTRAJAYA: Malaysia telah diumumkan sebagai “Destinasi Mesra-Muslim Terbaik (OIC)” dan “Destinasi Mesra-Wanita Muslim Terbaik” ole CrescentRating dan Mastercard semasa Majlis Halal in Travel Awards di Singapura pada Khamis.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Dato Sri Tiong King Sing memberitahu, pada majlis sama, Malaysia juga disahkan telah mengekalkan kedudukan teratas dalam carta “Destinasi Mesra-Muslim Terbaik” dalam laporan “Global Muslim Travel Index (GMTI) 2023”.
“Pencapaian ini merupakan satu kebanggaan yang mengukuhkan lagi kedudukan dan penjenamaan Malaysia sebagai peneraju segmen Pelancongan Islam serta Pelancongan dan Hospitaliti Mesa Muslim (Muslim-Friendly Tourism and Hospitality – MFTH) di peringkat serantau dan antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan.
Tiong menambah, sebagai peneraju industri Pelancongan Islam, Malaysia berbesar hati menyaksikan perkembangan sektor ini yang semakin mendapat perhatian para penggiat industri pelancongan antarabangsa.
Katanya lagi, penghargaan anugerah itu juga memangkin semangat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bersama agensinya Islamic Tourism Centre (ITC) untuk mempertingkat komitmen untuk mengekalkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang digemari pelancong Muslim.
Menurut beliau, Malaysia sentiasa bersiap sedia untuk mengalu- alukan lebih ramai pelancong Muslim melalui pelbagai aktiviti, perkhidmatan dan kemudahan yang menawarkan pengalaman pelancongan yang unik, menarik dan tidak dapat dilupakan.
Ujarnya, ia bukan sahaja bermanfaat kepada mereka yang beragama Islam, bahkan, dapat dinikmati oleh pelancong bukan Islam yang berminat untuk mengenali budaya, warisan, sejarah dan seni bina Islam di Malaysia.
Beliau juga menggalakan usahawan dan penggiat industri tempatan, tanpa mengira agama dan bangsa untuk mengembangkan tawaran khidmat mesra-Muslim masing-masing sebagai satu nilai tambah.
Mereka juga digalakkan untuk menyertai kursus-kursus dan program di bawah ITC seperti kursus Muslim-Friendly Tourist Guide (MFTG) yang terbuka kepada pemandu pelancong berlesen tempatan dan program Muslim-Friendly Tourism and Hospitality Assurance and Recognition (MAR) yang memberi peluang pengembangan perniagaan kepada rakyat Malaysia menerusi industri Pelancongan Islam yang kini berkembang pesat.-SN
Dapatkan berita lebih lanjut dan pantas dengan melayari media sosial Sarawak News
Telegram: https://t.me/sarawaknews2022
Facebook Page: https://www.facebook.com/sarawaknewsofficial/
Instagram: https://www.instagram.com/sarawak_news/
Twitter: https://twitter.com/sarawak_news
Youtube: https://www.youtube.com/@sarawaknews2022/