Politik

‘Mana-mana pihak bebas suarakan kritikan, tukar kerajaan tunggulah pilihan raya’ – Mat Sabu

BAYAN LEPAS: Mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan pentadbiran Kerajaan Perpaduan bebas menyuarakan kritikan mereka ke arah usaha menjadikan negara ini ke arah yang lebih baik, kata Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Beliau berkata, ketika ini kestabilan negara amat penting, terutamanya dalam meningkatkan keyakinan pelabur sekali gus mengukuhkan ekonomi negara.

“(Kepada) yang tak setuju dengan Kerajaan Perpaduan tak apa. (Jika mahu) kempen nak maki kami, maki, boleh hentam dalam empat tahun setengah lagi rakyat sokong, kamu tukar pemerintah jangan tukar tengah jalan tak baik.

“Sebab itulah kalau boleh kalau ada kelemahan kami, bongkarkan buatlah apa program kalau rakyat terima jatuhkan melalui Pilihan Raya Umum akan datang itu cara yang paling baik,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Teluk Kumbar di sini, hari ini.

Dalam pada itu Mohamad yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan bersetuju dengan tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencabar mana-mana pihak yang mendakwa mempunyai sokongan yang cukup membawa usul berkenaan ke sidang Parlimen.

Beliau menyifatkan Parlimen merupakan platform terbaik dalam membuktikan dakwaan tersebut bukan sekadar cakap kosong sekali gus mengesahkan keabsahan Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar.

“Kita memang bersetuju kerana itu tempat terbaik untuk mendapat sokongan (sama ada) cukup atau tidak. Bawalah (usul) kita tiada masalah.

“Kalau ada cukup bilangan untuk buat perubahan kita tak boleh buat apa-apa asalkan ikut Perlembagaan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Abdul Samad, berkata pihak yang ingin membawa usul tidak percaya tersebut ke Parlimen dilihat berdepan risiko yang mendedahkan mereka tidak mempunyai angka sokongan yang cukup.

“Tapi kalau mereka bawa usul itu ada risikonya, iaitu akan terdedah bahawa mereka tidak cukup jumlah dan hanya cakap-cakap sahaja, jadi kita cabar bawalah ke Parlimen, tunjukkan jangan cakap di luar saja,” katanya.-BERITA HARIAN 

Exit mobile version